KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memantau pelaksanaan Inisiatif Program Budi Madani RON95 (Budi95) di pos penempatan Orang Asli di Gua Musang dekat sini bagi menggelak ketirisan manfaat tersebut kepada warga asing.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, KPDN Kelantan tidak akan berkompromi dengan peniaga yang terlibat dengan penyelewengan bahan api RON95.
Katanya, Pos Brooke dan Kuala Betis merupakan dua lokasi yang menyediakan tempat mengisi minyak secara manual menerusi Budi95 untuk dinikmati seramai 15,000 masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Walaupun jualan secara manual dijalankan di kawasan itu, peniaga perlu menjual RON95 hanya kepada Orang Asli yang mempunyai MyKad sahaja dan bukan kepada warga asing.
“Kita tahu ada warga asing yang berada di kawasan Lojing, Gua Musang, namun pemantauan secara berkala akan dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Walkabout Sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di sebuah pasar raya di Kubang Kerian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, purata jualan RON95 dianggarkan sebanyak 100 hingga 200 liter di kawasan Orang Asli sebulan kerana kebanyakan daripada mereka menggunakan motosikal.
“Setakat ini, belum lagi ada aduan mengenai penjualan petrol kepada warga asing. Kita membekalkan sebanyak 82,000 liter RON95 sebulan kepada peniaga di lima pos yang dilantik untuk Budi95,” katanya. – KOSMO! ONLINE