PETALING JAYA – Persahabatan yang pernah terjalin erat antara pelakon Janna Nick dan Azar Azmi kini kembali mekar selepas kedua-duanya dilihat bertemu semula dalam satu sesi pertemuan penuh emosi.
Dalam masa sama, Janna atau Nurul Jannah Muner, 31, meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menunaikan janji untuk bertemu semula selepas mereka sekian lama terputus hubungan.
Janna juga menitipkan pesanan agat Azar tidak lagi melalui fasa sukar yang sama dan mendoakan agar rakannya itu terus mengecapi kebahagiaan serta limpahan rezeki.
“Aku dah tunaikan janji aku untuk balik jumpa kau, jadi kau kena tunaikan janji kau juga okey.
“Aku tak nak kau lalu jalan yang sama lagi. Semoga Allah limpahkan rezeki kau, bagi peluang yang seronok untuk kau,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Penyanyi lagu Gatal itu turut meminta Azar agar tidak lagi memencilkan diri atau menghilangkan diri daripada radar industri dan rakan-rakan selepas ini.
“Saya tahu dia penat dengan semua tapi dia tetap kuatkan semangat demi anak-anak.
“Semoga Allah permudahkan urusan kau.
“Janji, jangan lari dan hilang lagi. Sayang kau,” katanya lagi.
Dalam perkongsian video tersebut, Janna dilihat merancang kejutan sebelum berlari ke arah Azar lalu mereka berpelukan erat.
Dia lebih selesa untuk tidak bertanya lanjut mengenai apa yang terbuku di hati Azar, sebaliknya hanya mahu menikmati waktu bersama dengan mengajaknya makan.
Sebelum ini, Azar tidak dapat menahan sebak apabila dihubungi Janna selepas sekian lama menyepi daripada dunia hiburan. – KOSMO! ONLINE














