fbpx
Penduduk Orang Asli membina sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan di simpang Bereglag, Pos Simpor dekat Gua Musang kelmarin.

Kelantan teliti maklumat isu Orang Asli bina sekatan di Pos Simpor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan sedang meneliti segala maklumat berkenaan isu masyarakat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang yang bertindak nekad membina sekatan bagi menghalang perjalanan kenderaan yang terlibat dalam aktiviti pembalakan di kawasan tanah dan wilayah adat Bereglag kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya sudah menerima makluman awal mengenai tindakan masyarakat Orang Asli yang mempertahankan tanah adat dan wilayah adat mereka.

“Sehubungan itu, saya akan menghubungi Ketua Masyarakat Orang Asli (KMOA) di perkampungan berkenaan yang merupakan jambatan penghubung antara masyarakat Orang Asli dan kerajaan negeri dengan kadar segera.

“Saya akan turun ke sana untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku termasuk memastikan tempoh masa sebenar kejadian. Ini kerana, saya juga ada terlihat video-video tular di media sosial yang didakwa berkait kejadian sama. Selepas diteliti dan disiasat, ia sebenar video lama yang berlaku pada 2014,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Zamakhshari memberitahu, ruang perbincangan mengenai isu berkenaan dan perkara berkaitan perpaduan masyarakat tetap ada, namun maklumat perlu diambil terlebih dahulu daripada KMOA bagi memastikan keabsahan permasalahan yang ditimbulkan.

“Perbincangan dan rundingan akan berlaku, tetapi kita perlu ambil maklumat selain memahami isu lebih dahulu terutama untuk memastikan keabsahannya.

“Secara umumnya saya akan ambil maklumat dan berbincang melalui KMOA dalam skop portfolio Perpaduan Masyarakat. Isu berkaitan pembalakan, saya hanya boleh dapatkan maklumat secara tidak langsung dari Pejabat Perhutanan Negeri kerana ia di bawah portfolio lain,” ujarnya.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, masyarakat Orang Asli di beberapa kampung di Pos Simpor, Gua Musang membina sekatan bagi menghalang perjalanan kenderaan yang terlibat dalam aktiviti pembalakan di kawasan tanah dan wilayah adat Bereglag kelmarin.

Pengerusinya, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, pembalakan tidak terkawal akan menjejaskan kehidupan komuniti dan keseimbangan alam sekitar di kawasan tersebut.

Katanya, penduduk sebelum ini pernah mendirikan sekatan di lokasi sama, namun dirobohkan oleh pihak berkuasa pada 12 Februari lalu kerana didakwa menghalang laluan kenderaan bagi tujuan operasi pembalakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN