PADANG BESAR – Kehadiran anggota pasukan keselamatan di stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand di sini mendapat reaksi positif dalam kalangan penduduk setempat.
Tinjauan mendapati dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan di setiap stesen minyak berisiko bagi mengelakkan ketirisan bahan api.
Seorang pengguna, Mohd. Amirul Amin Rusdi, 41, berkata, langkah itu membantu kerajaan mengekang ketirisan bahan api, khususnya petrol bersubsidi untuk kegunaan rakyat tempatan.
“Bagi saya, tindakan ini bagus kerana ia memperkukuh pemantauan di kawasan sempadan agar bahan api dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat negara ini.
“Saya juga dimaklumkan mereka memantau pengisian bahan api oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Seorang lagi pengguna, Noraziah Abu Bakar, 38, berkata, kehadiran anggota keselamatan itu turut mewujudkan suasana lebih selamat kepada pengguna.
“Pada mulanya saya terkejut melihat anggota polis di stesen minyak, namun selepas mendapat penjelasan, saya merasakan ia satu langkah yang baik.
“Apabila ada anggota polis, pengguna wanita seperti saya berasa lebih selamat dan risiko jenayah seperti samun juga dapat dikurangkan,” jelasnya.
Tambahnya, langkah itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal dan boleh diperluaskan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sekiranya kekuatan sedia ada tidak mencukupi. – KOSMO! ONLINE














