fbpx
Gambar hiasan

Pertanian bukan lagi dianggap sektor pinggiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sektor pertanian bukan lagi dianggap sebagai sektor pinggiran, sebaliknya menjadi teras utama kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Itu penegasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengulas Belanjawan 2026 yang disifatkannya sebagai Belanjawan Rakyat paling menyeluruh buat golongan pesawah, nelayan dan usahawan tani.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM6.87 bilion kepada kementeriannya meningkat tujuh peratus berbanding tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Alhamdulillah, belanjawan kali ini benar-benar mencerminkan kesungguhan kerajaan membela nasib warga tani.

“Kita mahu pastikan rakyat menikmati bekalan makanan yang cukup, selamat dan mampu milik,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Mohamad berkata, kerajaan memperkukuh pelbagai program bantuan dan insentif kepada pesawah dan nelayan selain meneruskan projek besar seperti Pemindahan Air Jeniang dan Sistem Pengairan Tersier MADA bagi menyokong lima musim penanaman padi dalam tempoh dua tahun.

Beliau turut memaklumkan kerajaan mengekalkan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan serta diesel bersubsidi, selain menyediakan pembiayaan RM1.1 bilion melalui Agrobank bagi membantu usahawan tani mengembangkan perniagaan dan menggalakkan automasi pertanian.

“Golongan petani dan nelayan bukan lagi perlu melihat diri mereka di bawah, kerana mereka sebenarnya tunjang kepada kekuatan ekonomi negara. Tanpa hasil tani, rakyat tidak makan; tanpa nelayan, lauk di meja rakyat tidak lengkap,” katanya.

Beliau turut menegaskan, Belanjawan 2026 menjadi bukti bahawa kerajaan tidak lagi memandang ringan terhadap sektor pertanian yang selama ini dianggap ‘kelas kedua’.

“Saya yakin sektor ini akan terus melonjak sebagai industri moden, mampan dan berdaya saing. Inilah masa untuk kita jadikan pertanian sebagai sumber kekayaan dan kebanggaan negara,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI