KUALA LUMPUR – Agrobank komited membantu usahawan tani dan penjaja kecil yang mempunyai kekangan modal menerusi Skim Usahawan Tani Agrobank bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Skim yang dikenali sebagai Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA itu menyediakan pembiayaan, penabungan, perlindungan takaful, transaksi digital serta latihan keusahawanan percuma dalam aspek pengurusan kewangan dan pemasaran.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim itu dirangka khas bagi membantu pertumbuhan usahawan tani.
Khususnya kata beliau dalam memperkukuh operasi perniagaan, meningkatkan daya tahan kewangan serta mengembangkan perniagaan mereka.
“Skim ini mensasarkan seramai 1,000 usahawan tani untuk menerima manfaat melalui kemudahan pembiayaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM100,000 bagi setiap pelanggan dengan kadar keuntungan serendah 2.5 setahun.
“Permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan dan 500 pelanggan terawal yang layak dan memohon Skim Usahawan Tani. Agrobank x FAMA akan menerima manfaat pembiayaan mikro bersama barangan eksklusif Agrobank,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran skim tersebut di Pasar Tani Taman Melawati di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, pada tahun ini pihaknya menyediakan kira-kira RM20 juta pembiayaan khusus untuk usahawan pasar tani.
Jelas beliau, pembiayaan tersebut mampu memberikan pinjaman kepada lebih 5,000 usahawan tani di seluruh negara.
Dalam pada itu katanya, bagi menyokong pendigitalan perniagaan, Agrobank juga menyediakan 200 unit DuitNow QR SoundBox secara percuma kepada pelanggan terpilih yang layak.
“Inisiatif ini bagi menggalakkan penggunaan DuitNow QR Agrobank, memudahkan pengesahan bayaran secara lebih cepat dan selamat, serta meningkatkan penyertaan usahawan tani dan peniaga kecil dalam transaksi tanpa tunai,” katanya.
Tambah beliau, melalui kerjasama strategik bersama FAMA, Agrobank berharap skim itu dapat memberi impak langsung kepada usahawan tani melalui akses pembiayaan yang lebih mudah dan patuh syariah.
“Inisiatif ini juga diharap dapat memperkukuh daya tahan perniagaan mikro serta menyokong pertumbuhan sektor agromakanan negara secara lebih inklusif dan mampan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang usahawan tani Agrobank, Muhammad Nizam Abdul Aziz, 57, berkata, dia menyambut baik usaha pihak Agrobank dalam menyediakan pelbagai skim pembiayaan khusus untuk usahawan sepertinya.

Ini kerana kata beliau, pelbagai pembiayaan telah dimanfaatkan beliau sejak 20 tahun lalu.
“Daripada saya mengusahakan sawah padi, sehinggalah saya berniaga barangan basah di pasar tani, semuanya (modal) adalah hasil pembiayaan daripada Agrobank.
“Lagi pun Agrobank ini kita mudah dapat pinjaman sekiranya bayaran bulanan kita bagus, sebab itu saya boleh setia dengan Agrobank ini sejak 20 tahun yang lalu,” kata anak jati Tanjong Karang itu.
Bagi Ahmad Tarmizi Che Halim, 40, pula, Agrobank bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi turut menyediakan khidmat nasihat kewangan dan juga latihan yang membantu usahawan meningkatkan lagi perniaga.

“Terutamanya pendedahan dan latihan dari segi pengguna teknologi, Agrobank sangat membantu.
“Sebab sebelum ini, kita tidak didedahkan dengan penggunaan teknologi seperti pembayaran menggunakan online dan sebagainya. Jadi dengan adanya latihan dan pendedahan ini sekali gus melancarkan urusan perniagaan kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE














