PETALING JAYA – Persepsi bahawa sayur-sayuran dari Thailand lebih berkualiti berbanding hasil tempatan adalah tidak tepat kerana kualiti produk pertanian Malaysia sebenarnya setanding, malah ada yang lebih baik daripada negara jiran itu.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, tanggapan tersebut timbul kerana pengguna sering menganggap produk luar negara lebih baik berbanding hasil tempatan.

Menurutnya, tanaman seperti tomato, salad dan timun menyumbang kepada eksport utama sayuran, khususnya ke Singapura dan Timur Tengah. Eksport ke negara ini memerlukan pematuhan kepada piawaian kualiti dan keselamatan makanan yang ketat.
“Ini membuktikan sayuran Malaysia memenuhi piawaian kualiti setanding dari negara lain. Kualiti sayuran tempatan juga disokong melalui pensijilan seperti MyGAP, MyOrganik dan Malaysia Best sebagai jaminan kualiti.
“Di peringkat Mardi, beberapa varieti sayuran berkualiti tinggi telah dibangunkan iaitu cili (ciliMardi), tomato (MAHA18) dan bawang merah (BAW1,BAW2, BAW3) yang sekarang dalam proses perluasan kawasan di ladang komersial. Justeru, saya 110 peratus tidak setuju kalau kata Thailand lebih ke depan dari segi kualiti sayur berbanding Malaysia,” katanya ketika ditemui Kosmo!
Menurut beliau, faktor utama yang menyebabkan produk pertanian Thailand dijual lebih murah adalah disebabkan keluasan kawasan pertanian yang lebih besar selain kos buruh yang jauh lebih rendah berbanding Malaysia.
“Thailand mempunyai kawasan pertanian yang luas dan kos buruh mereka memang murah. Sebab itu mereka boleh hasilkan produk pada kos lebih rendah dan eksport dalam jumlah besar. Kita memang tak dapat tandingi dari segi kos sebab kos buruh kita tinggi,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, hasil pertanian Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri terutama dari segi kawalan penggunaan racun dan tahap keselamatan makanan.
“Malah ada hasil pertanian luar yang melebihi tahap maksimum sisa racun atau Maximum Residue Limit (MRL). Sebab itu kementerian letakkan syarat tertentu seperti sijil analisis sebelum dibenarkan masuk.
“Tetapi kadang-kadang ada juga produk yang terlepas pandang dan masuk tanpa kawalan sewajarnya,” katanya.
Mengulas mengenai jurang teknologi pertanian antara Malaysia dan Thailand, Mohamad Zabawi berkata, kedua-dua negara mempunyai kekuatan masing-masing dan tidak wujud perbezaan terlalu ketara dari segi penggunaan teknologi moden.














