BANDAR RAYA NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengurangkan satu pertiga anggota pasukan pengaman bagi 11 operasi di seluruh dunia dalam masa beberapa bulan akan datang kerana kekurangan dana, kata seorang pegawai kanan PBB kelmarin sambil menambah, pembiayaan masa depan dari Amerika Syarikat (AS) masih tidak menentu.
“Secara keseluruhan, kami perlu menghantar pulang sekitar 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tentera pengaman dan polis serta peralatan mereka. Sejumlah besar kakitangan awam dalam misi berkenaan juga akan terjejas,” kata pegawai kanan PBB yang enggan namanya disiarkan seperti laporan akhbar Arab News.
Jumlah bersamaan antara 13,000 hingga 14,000 askar dan polis, kata pegawai tersebut.
Washington adalah penyumbang misi pengaman terbesar PBB, dengan memberikan lebih 26 peratus pembiayaan, diikuti China yang membayar hampir 24 peratus. Bayaran itu bukan secara sukarela.
“AS sudah pun mempunyai bayaran tertunggak AS$1.5 bilion (RM6.3 bilion) sebelum tahun kewangan baharu bermula pada 1 Julai lalu,” kata pegawai kedua PBB.
Tambahnya, Washington juga mempunyai hutang tambahan AS$1.3 bilion (RM5.5 bilion), menjadikan jumlah bil tertunggaknya kepada lebih daripada AS$2.8 bilion (RM11.8 bilion).
“Amerika Syarikat bagaimanapun memberitahu PBB bahawa ia akan membuat pembayaran tidak lama lagi sebanyak AS$680 juta (RM2.8 bilion),” kata pegawai PBB yang pertama.
Presiden Donald Trump pada Ogos lalu secara unilateral membatalkan kira-kira AS$800 juta (RM3.3 bilion) dalam pembiayaan misi pengaman yang diperuntukkan untuk tahun 2024 dan 2025, demikian menurut mesej pentadbiran beliau kepada Kongres.
Trump telah lama menuduh institusi antarabangsa itu mengambil kesempatan ke atas AS, selain membuat pemotongan besar-besaran kepada bantuan asing negara itu sejak beliau kembali ke White House pada Januari lalu. – AGENSI