PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan kebimbangan apabila kedua-dua ibu bapanya yang uzur dan menggunakan kerusi roda terpaksa turun naik tangga selepas lif di kediaman mereka rosak hampir dua minggu.
Menerusi satu hantaran di laman Threads oleh @Niniebrahem.7, dia memaklumkan situasi tersebut berlaku di sebuah pangsapuri PPR di Lembah Pantai sekali gus menyukarkan urusan harian terutama melibatkan rawatan kesihatan bapanya.
Menurutnya, bapanya yang menghidap strok sejak hampir 25 tahun lalu masih perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
“Abah memang naik kerusi roda, tapi wajib pergi dialisis tiga hari seminggu. Terpaksa gagahkan diri turun tangga,” katanya.
Tambahnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila pemegang tangga juga rosak dan bergoyang, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
“Kami hampir terjatuh. Saya kena angkat kerusi roda dulu, kemudian naik semula untuk pegang abah dan bawa turun,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, @Thefikrey turut mendakwa mengalami nasib sama apabila ahli keluarganya yang sakit perlu menuruni tangga akibat lif rosak.
“Ini video nenek saudara saya turun tangga, kakinya sakit, sekarang dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Harap pihak berwajib ambil maklum situasi ini,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen meluahkan simpati selain menggesa pihak pengurusan mengambil tindakan segera bagi membaiki lif berkenaan.
Ada juga yang mendakwa masalah kewangan akibat tunggakan yuran penyelenggaraan menjadi antara punca kemudahan seperti lif tidak diselenggara dengan baik.
“Kebiasaannya lif tidak dibaiki kerana ramai penghuni tidak membayar yuran penyelenggaraan sehingga dana tidak mencukupi. Justeru, mereka yang mempunyai tunggakan diminta menjelaskannya kerana menyusahkan penghuni lain yang memerlukan lif,” kata @Hana88farhana. – KOSMO! ONLINE













