ALOR SETAR – Seramai 57 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) digerakkan ke 13 buah stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini, Perlis dan Perak dalam usaha mengekang ketirisan bahn api.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Sing Mahindar Singh berkata, stesen minyak ‘hot spot’ tersebut melibatkan enam di Kedah, lima di Perlis dan dua di Perak.
Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan tiada ketirisan minyak diesel dan petrol di semua lokasi yang disasarkan.
“Pemantauan Ops Tiris 4.0 dilaksanakan secara syif bermula seawal pukul 6.30 pagi dengan kehadiran berterusan anggota PGA di semua stesen minyak yang dikenal pasti sebagai ‘hot spot’.
“Penugasan diteruskan sehingga stesen minyak tersebut ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha tersebut penting bagi memastikan bahan api bersubsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
“Ia melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) [PetrolRON95] 2026 yang berkuat kuasa pada 1 April lalu serta Peraturan Pembelian Bahan Api Bersubsidi di dalam Bekas di Malaysia, ” ujarnya.
Tambahnya, Polis Diraja Malaysia akan terus mempertingkatkan keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.
“Di samping itu, kita menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyelewengan bahan api bersubsidi, ” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














