JASIN – Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dalam prosiding pertuduhan ke atas bekas pemandu bas dan kekasihnya yang tular membuat aksi riba mendedahkan lesen memandu lelaki tersebut telah tamat tempoh ketika kejadian.
Tertuduh, Arif Fahmi Abd. Salam, 36, telah didakwa bersama kekasihnya, Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, di Mahkamah Majistret Jasin hari ini.
Kedua-dua mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin bagi pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Pasangan itu yang tidak diwakili peguam terdahulu merayu agar hukuman ringan diberikan dengan Arif memberikan alasan ia merupakan kesalahan pertamanya dan telah diberhentikan kerja oleh pihak syarikat bas susulan kejadian itu.
Katanya lagi, aksi yang dilakukan mereka juga tidak menyebabkan sebarang kemalangan berlaku dan kesemua penumpang selamat tiba di destinasi.
Mohd. Asri bagaimanapun memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira beberapa faktor pemberat iaitu keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh dapat dilihat daripada peruntukkan hukuman bagi seksyen tersebut.
Katanya lagi, faktor kepentingan awam perlu didahulukan berbanding tertuduh dan ketika aksi berbahaya itu dilakukan, pemandu bas terbabit sedang membawa 27 nyawa dalam keadaan lesen memandunya telah tamat tempoh.
“Aksi yang dilakukan tertuduh telah mencetuskan kegusaran orang awam berkaitan keselamatan pengangkutan awam. Ketika kejadian seramai 27 nyawa berada di dalam bas tersebut.
“Tindakan tertuduh langsung tidak boleh diterima, mujur tiada apa-apa yang berlaku (kemalangan), jika sebaliknya bagaimana dengan nasib penumpang?.
“Ketika kejadian lesen memandu tertuduh lelaki juga telah tamat tempoh iaitu pada tarikh 1 April lalu. Jadi, saya gesa mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat bagi menyampaikan mesej dan peringatan kepada semua pengguna jalan raya supaya tidak sesekali mengabaikan faktor keselamatan jalan raya,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara terhadap bekas pemandu bas tersebut, manakala kekasihnya dikenakan enam bulan penjara. Pasangan itu turut dikenaka denda RM5,000 atau dua bulan penjara, jika gagal bayar.
Dalam prosiding itu, Nur Adila turut didakwa bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun dan dikenakan denda RM100.-KOSMO! ONLINE.














