MINGGU cuti sekolah kali ini meriah agak luar biasa. Kesibukan umat Islam pulang menyambut Aidiladha bercampur dengan cuti umum berganda seakan melupakan isu mahalnya harga diesel.
Kesesakan kenderaan di jalan raya serta kesesakan orang ramai di destinasi pelancongan juga seolah-olah melupakan isu kuota subsidi petrol serta apa lagi impak perang Amerika Syarikat – Iran yang belum berkesudahan.
Senario ini jelas memperlihatkan bahawa kita di Malaysia ini masih mampu meneruskan kehidupan seperti biasa. Apabila tiba musim cuti, kita semua bercuti ke destinasi pilihan mengikut keupayaan dan selera.
Dalam kesibukan rakyat mengisi cuti kali ini, pimpinan kerajaan negeri Johor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menandakan paluan gendang perang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 bermula.
Meskipun sudah ada tanda-tanda akan berlaku pembubaran DUN di beberapa negeri, namun ternyata Johor membuat kejutan berbanding telahan di Melaka dan Negeri Sembilan. Malah, ada khabar bertiup kencang bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) juga bakal berlangsung tahun ini.
Pilihan raya adalah satu kaedah dalam sistem demokrasi untuk mendapatkan mandat rakyat bagi membentuk kerajaan. Bagi kerajaan memerintah, ini adalah peluang untuk memperbaharui mandat sekali gus membolehkan meneruskan pelbagai perancangan dan pembangunan sedia ada.
Bagi parti pembangkang pula, ini adalah peluang untuk menyediakan pilihan kepada rakyat jika tidak berpuas hati dengan dasar, gerak kerja dan janji-janji wakil rakyat yang mereka pilih sebelum ini.
Hari mengundi pula menjadi hari paling penting bagi setiap rakyat yang layak untuk memilih calon bagi mewakili serta menjaga kepentingan mereka baik di peringkat DUN atau Parlimen.
Hari tersebut juga merupakan hari mereka menjadi individu paling ‘berkuasa’ dalam menentukan parti apa yang boleh membentuk kerajaan untuk memerintah.
Di atas sehelai kertas kecil untuk dipangkah itu pula menjadi satu penilaian terhadap seseorang calon yang menawarkan diri bertanding. Di situ juga mereka mampu menghukum prestasi pemimpin sedia ada sama ada layak untuk diberi mandat baharu atau sebaliknya.
Harus diingat, hari mengundi adalah hari bagi rakyat menentukan hala tuju negara. Setiap undi memberi kesan kepada dasar ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan negara yang akan dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan.
Melihat kepada pentingnya hari berkenaan, rakyat perlu sedar bahawa tangan dan keputusan mereka tidak boleh sesekali dicemari dengan kotornya tindak-tanduk dan strategi calon serta parti untuk meraih kemenangan.
Perang pilihan raya adalah medan untuk menawarkan diri menjadi wakil terbaik kepada rakyat dan bukannya medan menyebar fitnah, dakyah, penipuan dan janji-janji palsu. – KOSMO! ONLINE














