PETALING JAYA – Sikap segelintir ibu bapa yang gemar menangguhkan urusan pendaftaran sekolah sehingga saat akhir dikenal pasti antara faktor menyebabkan jumlah pendaftaran murid Tahun Satu berusia enam tahun masih rendah berbanding sasaran yang diunjurkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sebahagian besar ibu bapa masih mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sebelum membuat keputusan mendaftarkan anak mereka ke Tahun Satu pada usia enam tahun.
Katanya, kelewatan itu menyukarkan KPM membuat perancangan yang tepat bagi penyediaan bilik darjah, perabot, guru serta kemudahan lain di sekolah.
“Antara punca pendaftaran masih belum mencapai angka yang tinggi ialah sikap sesetengah ibu bapa yang suka membuat pendaftaran saat-saat akhir.
“Bagi ibu bapa yang memang bercadang menghantar anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun, mereka sepatutnya membuat pendaftaran lebih awal supaya pihak kementerian dapat membuat persediaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas jumlah pendaftaran murid Tahun Satu berusia enam tahun yang masih rendah berbanding kohort murid berusia tujuh tahun.
Dr. Anuar berkata, sebahagian ibu bapa juga masih belum yakin sepenuhnya dengan pelaksanaan kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun walaupun pendekatan tersebut telah lama diamalkan di banyak negara maju.
Katanya, persepsi bahawa kanak-kanak akan berdepan tekanan menyebabkan ada ibu bapa mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.
“Hakikatnya, kemasukan ke sekolah pada usia enam tahun bukan semata-mata mengenai akademik. Ia lebih kepada proses sosialisasi, pembentukan sahsiah dan pembelajaran kendiri.
“Ramai ibu bapa mungkin masih belum melihat manfaat ini, lalu memilih untuk menangguhkan pendaftaran sehingga hampir tarikh akhir,” ujarnya.
Menurut beliau, kelewatan pendaftaran bukan sahaja memberi kesan kepada pihak sekolah, malah boleh menjejaskan pengalaman pembelajaran murid secara keseluruhan jika berlaku pertambahan mendadak bilangan pelajar pada saat akhir. -KOSMO! ONLINE














