ADA seorang, dua rakan penulis berbakat dalam seni pertukangan kayu. Bagusnya, mereka menyalurkan kreativiti ke arah aktiviti memancing terutamanya dengan membuat gewang buatan sendiri.
Antara banyak-banyak jenis gewang, popper kayu paling mudah dibuat dan ia juga kuat kerana dapat menahan kekahan ikan bergigi tajam seperti alu-alu.
Ia berbeza daripada popper diperbuat daripada plastik yang selalunya akan bocor atau pecah selepas ‘dibelasah’ ikan tersebut.
Untuk membuatnya, bahan dan alatan yang diperlukan adalah batang penyapu atau apa sahaja jenis kayu kuat dan boleh terapung, mesin gerudi (drill), playar, pisau, gam, dawai tahan karat, kertas pasir dan timah atau batu ladung kecil dan cat warna.
Langkah pertama, membentuk kayu tersebut menjadi popper yang diinginkan menggunakan pisau.
Paling penting, perlu buat kepala popper berbentuk cawan (cup) supaya ia dapat memercikkan air ketika dimainkan nanti.
Kemudian, tebuk satu lubang dari bahagian kepala hingga ke ekor popper sebagai laluan dawai. Guna satu bekas berisi air dan apungkan popper di dalamnya, tanda bahagian yang tenggelam kerana ia bakal menjadi perut popper.
Di perutnya itu nanti, tebuk satu lubang yang akan diisi timah pemberat. Ia akan menjadi pengimbang popper supaya stabil dan dapat memercikkan air dengan lebih banyak ketika dimainkan.
Popper yang bagus mesti seimbang dengan kedudukan kepalanya lebih terapung berbanding ekor. Jadi, pemberat daripada timah atau batu ladung boleh dilaras kedudukannya terutamanya pada bahagian eyelet belakang.
Tebuk juga satu lubang kecil di perut popper untuk memasukkan wayar yang akan bersambung dengan wayar dari kepala ke ekor.
Bentukkan gelung kecil di semua penghujung wayar ini sebagai eyelet untuk perambut di bahagian kepala dan mata kail di perut dan ekornya.
Kemaskan bentuk popper supaya lebih cantik dengan menggunakan pisau dan kertas pasir. Sembur cat asas diikuti dengan cat warna pilihan masing-masing.

Alu-alu di kala maghrib
Kebiasaannya, jika air naik pasang sewaktu lewat senja merupakan masa-masa keemasan menunggu ikan alu-alu menghambat ikan kecil di kawasan muara dan tambak berbatu yang banyak terdapat di Kelantan.
Tanda-tandanya, air berkocak dengan ‘letupan’ mengejutkan dan disusuli pula dengan percikan air daripada ikan-ikan kecil yang bercempiaran menyelamatkan diri daripada serangan alu-alu.
Ketika inilah popper kayu DIY kami menunggu untuk ‘bekerja’. Popper yang berat ini mudah sahaja dilempar jauh ke tempat ledakan-ledakan ikan alu-alu tersebut.
Kami tidak risau ia pecah dikekah ikan kerana bahan buatannya kuat.
Hari kejadian
Mendengar khabar tentang keganasan ikan alu-alu di Muara Pak Mat yang terletak di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, Kelantan, kami terus merancang trip ke sana dan tiba pada pukul 6 petang.
Kami memilih tempat terbaik berhampiran muka kuala kerana di situlah alu-alu berkumpul memburu mangsanya.
Petang itu, keadaan permukaan air masih lagi tenang.
Namun, sebaik sahaja matahari melabuhkan tirai, permukaan air mula menjadi riuh dengan percikkan air daripada gerombolan ikan kecil yang dikejar dan diburu tanpa henti.
Melihat situasi itu, kami tanpa membuang masa terus melontar popper dan memainkannya di sekitar kawasan letupan air tersebut.

Hari itu, rezeki jelas berpihak kepada Hafiz, popper yang baru sahaja disiapkannya berjaya menggoda seekor alu-alu bersaiz kasar.
Seperti biasa, pecutan awal spesies ini sememangnya padu. Ia menekan tanpa henti untuk seketika sehinggalah terasa tekanan dari drag yang diketatkan barulah ia mahu berhenti. Kemudian, joran akan dipam supaya ia berpaling semula kepada pemancing.
Namun, ikan ini juga terkenal dengan taktiknya yang mengelirukan. Ia akan tiba-tiba berpatah balik ke arah pemancing dan membuatkan
tali kelihatan seolah-olah sudah putus.
Apabila tali dikarau semula, ia akan melakukan pecutan mengejut sebaik terasa ada tekanan dan selalunya ketika itulah sering terjadi tali terputus.
Sebab itulah pemancing harus bijak mengawal keadaan, jangan sesekali panik dan berlawanlah dengan tenang.
Ikut sahaja gaya ikan menentang, dan itulah yang Hafiz lakukan sehingga ikan tersebut dapat dipujuk hingga ke tepi tebing batu tambak.
Akhirnya, alu-alu seberat 4 kilogram (kg) itu berjaya dinaikkan. Pada malam tersebut hanya Hafiz berjaya menewaskan alu-alu, yang lain-lainnya hanya berputih mata.
Alif dan Hafiz kedua-duanya putus satu popper. Beginilah ragamnya popping ikan alu-alu, gewang selalu sahaja dicukainya.
Sebelum trip kami, rakan saya, Fadhil terlebih dahulu telah mencuba popping di situ. Hasil yang diperolehnya memang cukup lumayan. Dalam satu malam sahaja, dia berjaya menaikkan enam ekor ikan alu-alu saiz antara dua hingga 4.8 kg dengan menggunakan popper kayu buatannya sendiri.
Ini jelas menunjukkan potensi besar kawasan tersebut sebagai lubuk alu-alu.














