GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan apabila nombor plat Toyota Alphard milik syarikatnya dipindah hak milik tanpa kebenaran.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan akan diambil mengikut prosedur berkaitan sekiranya wujud berlaku pelanggaran undang-undang.
“Kita akan bantu tetapi bergantung kepada tatacara tukar hak milik itu sendiri. Kita akan kenal pasti prosedur perundangan yang boleh laksanakan. Kita semak dahulu.
“Kadang-kadang dakwaan itu tidak benar. Mungkin lebih kepada dia merasakan nombor (plat) itu nombor dia, tetapi sebenarnya telah ditukar hak milik secara sah. Pihak JPJ perlu siasat terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan pemindahan hak milik nombor pendaftaran kenderaan unik tanpa pengetahuan pemilik asal.
“Saya tak nafikan mungkin ada penglibatan orang dalam, tetapi kami perlu laksana siasatan terlebih dahulu. Kita tidak boleh buat satu kesimpulan (orang dalam),” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa mendakwa nombor plat kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard milik syarikatnya dipindah hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa pada Januari lalu.
MPV dengan nombor pendaftaran popular dan unik, P111 itu didakwa dibawa ke sebuah bilik pameran kereta terpakai di Puchong, Selangor tanpa pengetahuan. -KOSMO! ONLINE














