PETALING JAYA – Tidak menyangka perkongsian nyaris terjebak hubungan songsang mengundang cemuhan, penyanyi Ieda Moin hanya berniat menjadikan kesilapannya sebagai iktibar.
Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd. Moin berkata, dia meminta maaf susulan pendedahan kisah lampaunya dalam sebuah program audio siar yang didakwa netizen sengaja membuka aib sendiri.
“Bismillah. Salam kepada semua yang memberi komen terhadap podcast (audio siar) luahan perjalanan hidup Cikda (Ieda).
“Saya memohon maaf atas kekhilafan yang pada awalnya saya fikir hanyalah untuk dijadikan pengajaran bersama, namun akhirnya menjadi medan kecaman terhadap diri saya.
“Saya akui, saya bersalah kerana membuka aib sendiri tanpa memikirkan sensitiviti semua yang mendengar dan tidak mendengar dari awal hingga akhir,” katanya menerusi ruangan komen dalam hantaran teaser di media sosial.
Penyanyi juga pelakon itu yang bersyukur dapat kembali ke jalan benar mengakui menerima teguran orang ramai dengan hati terbuka selain tidak menyalahkan sesiapa atas ketelanjuran itu.
“Alhamdulillah, saya tidak tersasar dalam hidup dan cepat sedar atas teguran daripada anda semua. Saya faham teguran itu datang daripada niat yang baik, bukan untuk menjatuhkan.
“Teguran ini juga hak anda semua sebagai saudara sesama Islam dan anda sudah menjalankan tanggungjawab dengan penuh keprihatinan.
“Saya bersyukur atas keprihatinan anda. Tuan punya podcast iaitu Aididitmyway juga tidak bersalah kerana dia meminta izin untuk segala perkongsian. Saya berikan keizinan itu tanpa sebarang paksaan,” katanya.
Penggiat seni yang memulakan langkah di arena muzik pada tahun 1999 itu turut menyatakan tidak menaruh dendam walaupun kecaman dilemparkan terhadapnya.
“Tanpa rasa marah dan dendam sedikit pun, saya menerima segala teguran daripada anda semua dengan hati terbuka kerana saya tahu teguran itu demi kebaikan bersama.
“Dengan rasa hormat dan rendah diri, terima kasih kepada semua yang sudah memberi nasihat kepada saya,” ujarnya.
Terdahulu, dalam podcast yang dikendalikan pengacara Aidid Marcello, Ieda berkongsi suatu ketika dulu pernah akrab dengan rakan wanita, namun cepat tersedar selepas dinasihatkan kawan lain.
Biarpun belum sampai ke tahap bercinta, perkongsian itu membuatkan ada peminat salah sangka dan mendakwanya sengaja membuka pekung yang sepatutnya disimpan. – KOSMO! ONLINE