SEPANG- Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan menerima 10 laporan daripada kapal Global Sumud Flotilla (GSF) disertai rakyat Malaysia yang mendedahkan wujud formasi kapal perang Israel di kawasan pelayaran.
Perkara itu disahkan Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby di sini tadi.
“Sedang berlaku formasi kapal perang Israel menghalang dan mengepung kawasan flotila,” katanya di sini sebentar tadi.
Terdahulu, SNCC mengeluarkan amaran merah berhubung kemungkinan berlaku pemintasan terhadap GSF daripada pihak Israel kira-kira pukul 1.34 pagi tadi.
Amaran merah itu dikeluarkan sebelum salah sebuah kapal GSF iaitu Alma memasuki zon merah 2.
Difahamkan, kapal tersebut turut membawa tiga rakyat malaysia dan aktivis, Greta Thunberg.
Ketika ini, kesemua konvoi yang disertai 44 buah kapal itu dalam pelayaran memasuki zon merah 2 dan dijangka tiba kira-kira pukul 4.19 pagi waktu Malaysia. – KOSMO! ONLINE