fbpx
Dr. FITRI FAREEZ kini berkhidmat sebagai pensyarah perubatan di UKM. – KOLEKSI DR FITRI FAREEZ & UKM

Dr. Fitri Fareez pakar psikiatri UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA dapati bahawa projek-projek penyelidikan yang dijalankan ketika saya di peringkat sarjana muda dan sarjana rata-ratanya berkaitan bidang psikiatri.

“Tambahan pula, saya pernah bekerja dalam bidang psikiatri di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, Hospital Permai Johor Bahru dan Hospital Bahagia Ulu Kinta (Perak).

“Hal ini menyedarkan saya tentang arah tuju saya kerana pengalaman-pengalaman itu menjadi salah satu petunjuk bahawa bidang psikiatri merupakan kursus yang perlu saya teruskan.”

Itu kata-kata pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fitri Fareez Ramli, 37, tatkala menyorot kembali pilihannya dalam bidang psikiatri ketika menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Oxford, Britain.

Lebih membanggakan, dia menjadi penyelidik pertama UKM dalam bidang psikiatri yang berjaya menamatkan pengajian atas tajaan Yayasan Khazanah di bawah program Oxford Centre for Islamic Studies Merdeka Scholarship bermula 2021 hingga Oktober tahun lalu.

Bidang kajian dilakukan oleh Dr. Fitri Fareez adalah berkaitan penggunaan ubat ebselen yang berpotensi untuk gangguan pesakit bipolar dan kemurungan.

Kejayaannya itu turut menarik perhatian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Fitri Fareez dan pihak UKM.

Ucapan penghargaan dan tahniah turut diberikan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh, sekali gus menyifatkan pencapaian sarjana UKM itu setanding dengan para penyelidik bertaraf antarabangsa.

Berkesempatan menemu bual pesona kampus hebat itu baru-baru ini, pemuda yang masih berstatus bujang tersebut menyatakan kesyukuran kerana berjaya menamatkan perjuangannya selama tiga tahun dengan mendapatkan segulung ijazah kedoktoran.

“Alhamdulillah, semuanya telah selesai. Saya memulakan pengajian pada 10 Oktober 2021 dan berjaya menamatkan pengajian pada 11 Oktober 2024.

“Kini, saya berkhidmat sebagai pensyarah dan penyelidik di Fakulti Perubatan UKM,” ujar anak jati Johor Bahru itu.

“Bercakap mengenai cabaran ketika berada di luar negara (Britain), perkara tersebut hadir dari pelbagai sudut dalam perjalanan mendapatkan segulung ijazah.

“Namun bagi saya, apa yang lebih penting adalah pendekatan strategik dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul supaya pengajian dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Sebelum itu, anak sulung daripada dua beradik tersebut menyambung pengajian Sarjana Muda Perubatan di Universitas Gadjah Mada, Indonesia dari 2007 hingga 2013 dan Sarjana Farmakologi (2017 -2019) di UKM.

“Saya masih ingat, dalam satu perbualan dengan ibu, dia sering melontarkan pandangan tentang keperluan untuk mempelajari sesuatu yang boleh diguna pakai di Malaysia.

“Dia juga sangat menekankan tentang kepentingan saya untuk kembali ke tanah air. Selain itu, saya juga mempunyai keinginan untuk membawa sesuatu yang baharu ke Malaysia.

“Berdasarkan carian pada ketika itu, saya dapati bahawa hanya terdapat seorang atau dua orang pakar dalam bidang psikofarmakologi di negara ini.

“Saya juga tidak menemui pakar di negara ini yang melakukan penyelidikan dalam ‘drug-purposing’ berkaitan bidang tersebut.

“Malah, kajian-kajian mekanistik yang menggunakan tugasan-tugasan neuropsikologi dan pengimejan neuro seperti spektroskopi magnetik resonans dalam kalangan manusia juga masih terbatas di negara ini.

“Hal ini memberi motivasi yang tinggi kepada saya untuk menceburi bidang psikofarmakologi pada ketika itu,” katanya.

Akui Dr. Fitri Fareez lagi, sebelum menyambung ke peringkat PhD, dia perlu mendapatkan penyelia bagi memulakan proses permohonan.

DR. FITRI FAREEZ (kanan) bergambar kenangan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar dan Isteri, Datin Nor Aini.

“Kriteria umum bagi kemasukan program PhD atau dikenali sebagai DPhil (Doctor of Philosophy) di University of Oxford adalah berdasarkan rekod kecemerlangan akademik sebelumnya.

“Selain itu, beberapa faktor penyumbang lain turut diambil kira seperti pengalaman kerja, pembentangan kertas kajian dan penerbitan dalam bidang berkaitan,” katanya.

Berkongsi kisah mengenai kajiannya berkaitan potensi penggunaan ubat ebselen untuk gangguan bipolar dan kemurungan, Dr. Fitri Fareez melihat projek itu dapat memberikan manfaat besar kepada umum.

Terangnya, dalam kajian tersebut, dia menggunakan pemprosesan emosi sebagai salah satu penanda bio awal.

“Ia bertujuan melihat potensi ebselen sebagai ubat antikemurungan dalam kalangan pesakit yang tidak menunjukkan respons mencukupi terhadap ubat-ubatan standard.

“Kami juga menggunakan teknik pengimejan neuro bagi melihat kesan ebselen ke atas perubahan komposisi kimia otak dalam kawasan pemprosesan emosi.

“Menariknya, rawatan ebselen dapat mengubah komposisi kimia otak bagi salah satu kawasan pemprosesan yang mungkin menjadi petanda penting cara kerja ebselen.

“Bagaimanapun, kami tidak menemukan kesan yang bermakna pada pemprosesan emosi.

“Justeru, kami menyimpulkan bahawa ebselen tidak mempunyai potensi sebagai ubat tambahan bagi rawatan kemurungan dalam kumpulan kajian tersebut.

“Namun, ebselen masih berpotensi sebagai ubat tambahan bagi gangguan bipolar, dan potensinya dalam rawatan awal kemurungan masih perlu dikaji,” ujarnya.

Jelasnya, teknik-teknik dipelajarinya di University of Oxford itu melengkapkan dirinya dengan kemahiran untuk menyaring ubat-ubat lain yang memiliki potensi bagi rawatan kemurungan.

“Kini, kami dalam proses membangunkan tugasan-tugasan berkaitan pemprosesan emosi dalam bahasa Melayu supaya boleh digunakan secara tepat dalam konteks bahasa dan budaya.

“Selain itu, projek-projek penyelidikan berkaitan dengan drug-repurposing juga akan dijalankan dengan kerjasama dua profesor hebat daripada University of Oxford.

“Mereka ialah Prof. Dr. Catherine Harmer dan Prof. Dr. Philip Cowen. Projek penyelidikan ini dilakukan bagi memastikan proses pemindahan teknologi dan kemahiran dari luar ke Malaysia dapat berjalan lancar,” katanya.

Sepanjang tiga tahun menyiapkan PhD, Dr. Fitri Fareez pernah menerima geran perjalanan daripada Guarantors of Brain United Kingdom,

Polish National Agency for Academic Exchange dan British Association of Psychopharmacology untuk membentangkan hasil kajiannya di persidangan antarabangsa.

“Walaupun penyelia saya mempunyai peruntukan untuk saya membentangkan kertas kajian di persidangan-persidangan, saya sering kali mencari peluang untuk mendapatkan geran perjalanan daripada organisasi-organisasi berkaitan.

“Mendapatkan geran-geran ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan penyelia, malah ia merupakan satu pencapaian terhadap hasil kajian yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai skop kerjanya di UKM ketika ini, Dr. Fitri Fareez yang kini berkhidmat sebagai pensyarah perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan turut diberikan amanah serta tanggungjawab lain.

Antara tugasan lainnya adalah menjadi Penyelaras Penyelidikan dan Penerbitan Jabatan Farmakologi, Timbalan Ketua Program Doktor Falsafah Fakulti Perubatan, Ketua Modul Kursus Kaedah Penyelidikan Program Doktor Falsafah Fakulti Perubatan serta Ahli Jawatankuasa Doktor Falsafah dan Sarjana Fakulti Perubatan.

“Sebagai pensyarah, saya turut terlibat dalam sesi pengajaran pelajar-pelajar perubatan dan Sarjana Muda Kejururawatan terutamanya dalam bidang sains neuro dan neurofarmakologi.

“Dari segi penyelidikan, projek-projek yang dijalankan memberi fokus terhadap gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dengan menggunakan alat-alat penyelidikan di UKM.

“Ia merangkumi pemprosesan emosi, pengimejan magnetik resonans kefungsian, spektroskopi magnetik resonans dan penanda-penanda bio yang lain,” tuturnya.

Lebih membanggakan, Dr. Fitri Fareez juga dilahirkan dengan bakat melukis dan pernah mempamerkan lukisannya di beberapa tempat seperti National Army Museum dan Royal Lancaster London.

Menerusi karya berkonsepkan kesihatan mental dan identiti, dia telah menerima Race Equality Recognition Award daripada Department of Psychiatry University of Oxford serta diangkat sebagai Equality, Diversity and Inclusion Exemplars oleh Oxford Health Biomedical Research Centre.

“Setelah saya berjaya mengadakan pameran seni keenam di National Army Museum London, saya telah berkongsi dengan Ketua Jabatan Psikiatri, University of Oxford mengenai perkara tersebut.

“Saya bersyukur kerana ditawarkan untuk membuat pameran yang julung-julung kali diadakan di jabatan selama beberapa bulan di ruangan umum.

“Pameran yang berlangsung dari November 2023 hingga Februari tahun lalu itu membolehkan saya mempamer karya-karya kepada kumpulan penonton lain.

“Ia juga mungkin menjadi sebab kepada penganugerahan Race Equality Recognition Award kerana mesej-mesej tentang kesihatan mental yang dipersembahkan kepada umum.

“Saya juga bersyukur kerana berita tentang anugerah tersebut yang dikongsikan dalam laman web, St Cross College, University of Oxford telah disenaraikan dalam NIHR Oxford Health Biomedical Research Centre sebagai Equality, Diversity, and Inclusion (EDI) Exemplars,” katanya.

Ditanya mengenai pendapat peribadinya mengenai tahap kemurungan masyarakat di negara ini, Dr. Fitri Fareez memberitahu, berdasarkan

Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, seramai 1 juta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan.

Jelasnya, peratusan itu telah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding tinjauan yang dilakukan pada 2019.

“Tambahan pula, separuh daripada jumlah tersebut berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau bunuh diri.

“Lebih membimbangkan, kumpulan umur 16-19 dan 20-29 tahun mempunyai peratusan kemurungan tertinggi jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan umur lain,” katanya.

Tambahnya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada gejala kesihatan mental dalam kalangan golongan muda.

“Hakikatnya, wanita lebih berisiko mengalami gangguan mental mungkin kerana perubahan hormon yang berlaku dan kesannya terhadap mood.

“Selain itu, tekanan dalam sesebuah keluarga atau masyarakat juga boleh menyumbang kepada pembentukan gangguan kesihatan mental kepada wanita.

“Menariknya, mendirikan rumah tangga dengan berkahwin merupakan salah satu faktor pelindung bagi gangguan kesihatan mental.

“Hal ini mungkin disebabkan sokongan moral daripada pasangan yang mengambil berat terhadap masalah dihadapi,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Dr. Fitri Fareez menegaskan stigma negatif terhadap gangguan kesihatan mental perlu dihapuskan supaya mereka yang sedang mengalami masalah itu berasa selamat dan yakin untuk mendapatkan rawatan.

“Saya mempunyai rakan yang telah dinafikan peluang untuk menyambung pengajian ke luar negara oleh seseorang kerana sejarah gangguan mental yang pernah dihadapinya.

“Kita seharusnya melihat kesihatan mental sebagai sesuatu yang dinamik, ia boleh berubah-ubah.

“Gangguan mental boleh dirawat dan mereka yang mengalaminya juga boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN