PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 32 buah kenderaan import bernilai lebih RM8.45 juta yang disyaki melanggar syarat gudang berlesen dalam operasi di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, kesemua kenderaan itu dijumpai di dua gudang berlesen milik syarikat pengimport di Setapak dan Damansara menerusi Ops Purple pada 29 Julai hingga 7 Ogos lalu.
Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati pemilik gudang gagal mematuhi Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan kenderaan tersebut melebihi tempoh 48 bulan.
“Pemeriksaan menemukan 32 buah kenderaan import disyaki tidak berkastam dengan nilai rampasan berjumlah RM3.07 juta, manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM5.37 juta.
“Siasatan mendapati sindiket itu disyaki menyalahgunakan pengecualian duti di bawah Seksyen 4 akta sama untuk menyimpan kenderaan tanpa membayar cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali nilai barangan atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya.
Sementara itu, katanya, JKDM Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 353 kes rampasan bernilai RM72.12 juta dari Januari hingga Ogos lalu membabitkan barangan seperti rokok, minuman keras, besi import, dadah, dron dan mercun.
Orang ramai digesa membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain selain dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dalam aktiviti haram tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Wan Norizan. – KOSMO! ONLINE














