PETALING JAYA – Industri penternakan lembu bagi tujuan ibadah korban tahun ini disifatkan semakin mencabar apabila penternak tempatan berdepan lambakan pesaing baharu, ‘perang’ harga serta kemasukan lembu import murah yang menjejaskan jualan.
Pengusaha Bumi Agro Resources, Mohamad Fikri Azahar, 35, berkata, walaupun lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan ternakan keluarga di sekitar Klang, Banting dan Kuala Selangor, tahun ini antara paling mencabar buatnya.
Menurutnya, tahun lalu dia banyak menerima tempahan surau dan masjid di sekitar Selangor, namun situasi berubah selepas kemunculan terlalu ramai penternak baharu.
“Kebanyakan penternak sekarang ada jurujual untuk tarik pelanggan datang ke kandang mereka. Persaingan memang terlalu tinggi sampai ramai sanggup buang harga. Yang jual lembu 10 orang, pembeli hanya lima.
“Penternak luar Selangor pun cuba masuk pasaran Kuala Lumpur dan Selangor sebab di sini boleh jual harga lembu lebih mahal berbanding negeri lain.
“Tahun-tahun sebelum ni, waktu sekarang dua minggu sebelum raya haji biasanya dah habis ‘licin’ dah lembu. Tapi saya masih banyak tidak ‘bertuan’,” katanya kepada Kosmo!
Katanya, harga pasaran semasa bagi lembu gred C seberat 200 hingga 300 kilogram sekitar RM4,900, manakala gred B pula RM5,500 dan gred A boleh mencecah RM6,000.
“Ada yang untung terlalu sedikit pun mereka jual asalkan stok dapat dihabiskan. Ada juga bawa masuk lembu import dari Thailand kerana lebih murah dan bersaiz besar menyebabkan lembu tempatan kurang laku.
“Pembeli pula kebanyakannya mahu murah dan besar. Mereka tak tanya lembu tempatan atau import,” katanya.
Seorang lagi penternak, Mohd. Shahrol Nizam Zulkiflie, 40, dari Nizam Power Group Resources berkata, keadaan pasaran tahun ini amat berbeza berbanding beberapa tahun lalu bagi ladangnya di Seksyen 36, Alam Impian yang beroperasi sejak 2010.
Ujarnya, tahun sebelum ini mereka menerima kemasukan lembu secara berterusan dengan jumlah minimum antara 15 hingga 20 ekor seminggu dan pernah mencecah hingga 60 ekor ketika permintaan memuncak.
“Tahun ini memang jualan teruk sebab persaingan terlalu tinggi. Saya bawa masuk 90 hingga 120 ekor lembu. Itu pun masih banyak belum terjual,” ujarnya.














