KUANTAN – Kerajaan negeri akan meneruskan operasi penguatkuasaan di kawasan tanah-tanah kerajaan yang diceroboh secara haram di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini kerajaan negeri melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah melakukan pemusnahan di kawasan seluas 1,976 hektar di seluruh negeri.
“Setakat ini juga sitaan melibatkan jentera, kenderaan dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM16.5 juta.
“Sehingga kini juga sebanyak 356 kes pendakwaan dengan kutipan denda atau kompaun sebanyak RM7.17 juta direkodkan,”katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang bertanya apakah tindakan-tindakan penguatkuasaan pencerobohan tanah kerajaan negeri yang telah diambil di seluruh negeri Pahang termasuk tindakan pemusnahan tanaman dan pendakwaan di mahkamah.
Menurut Wan Rosdy tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah berdasarkan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN).
Katanya kesalahan dalam Seksyen ini adalah kerana menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.
“Kesalahan juga kerana membersih, membajak, menggali, mengepung atau menanam mana-mana tanah sedemikian atau memotong atau memindahkan apa-apa kayuan atau hasil atas tanah,”katanya.
Dalam pada menjawab soalan tambahan beliau berkata, kawasan tanah yang telah dimusnahkan tidak akan dibiarkan begitu sahaja.
Katanya, tanah berkenaan akan dimajukan oleh anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat berkelayakan yang akan memberikan hasil kepada kerajaan negeri.- KOSMO! ONLINE














