BACHOK – Dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada bulan lalu disambung reman enam hari.
Perintah lanjutan reman terhadap kedua-dua suspek berusia 25 tahun yang bermula hari ini hingga Rabu depan itu dibenarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lanjutan reman itu bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan reman selama enam hari sehingga hari ini. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu depan bagi keputusan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Misteri pembunuhan seorang lelaki OKU lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini pada 14 April lalu bakal terjawab selepas dua individu ditahan di Kubang Kerian dan Kota Bharu, dekat sini kira-kira pukul 1 dan 3 pagi pada 10 Mei lalu.
Mohamad Ismail berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang memiliki rekod dadah dipercayai rakan kepada mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20.
“Salah seorang suspek bekerja sebagai peniaga pakaian manakala seorang lagi merupakan penganggur. Kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod dadah,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, selepas lebih 17 jam bertarung nyawa, Muhammad Zakir Fikry akhirnya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala apabila dipercayai dipukul dalam kejadian itu.
Mangsa ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah pada muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan tersebut pada pukul 7.30 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir di Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian kira-kira pukul 12.55 tengah malam keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE














