PETALING JAYA – Golongan penunggang motosikal diingatkan agar tidak menjadikan ruang di celah-celah kenderaan atau laluan di atas garisan jalan sebagai tiket untuk memecut sesuka hati.
Peringatan tersebut dikongsi menerusi satu hantaran di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) yang menegaskan bahawa ruang sempit di laluan tengah itu sebenarnya mempunyai risiko kemalangan yang sangat tinggi.
Jelas PHM, ramai penunggang beranggapan laluan tengah memberi mereka ruang untuk bergerak lebih laju, namun hakikatnya ia boleh berubah menjadi ‘ruang maut’ dalam sekelip mata.
“Bahaya paling besar bukan sekadar menunggang di celah kenderaan, tetapi apabila penunggang membawa laju, potong mengejut, dan menganggap pemandu kereta pasti nampak kehadiran mereka.
“Satu silap kecil, satu kereta tukar lorong atau satu brek mengejut, semuanya boleh berakhir dengan kecederaan parah atau kehilangan nyawa,” kata PHM.
Mengulas lanjut, PHM turut menasihati pengguna jalan raya supaya lebih peka dan mengutamakan keselamatan berbanding mengejar masa kerana nyawa tidak boleh ditukar ganti.
“Sampai lambat masih boleh pulang ke rumah. Tapi kalau terlalu mengejar cepat, kadang-kadang yang rugi bukan masa, tapi masa depan. Beberapa minit yang dijimatkan tidak berbaloi dengan kemalangan yang menghancurkan keluarga,” ujar PHM lagi.
Dalam pada itu, PHM turut memberikan pesanan ringkas buat semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – KOSMO! ONLINE














