fbpx
MUSTAKIM (Gambar kecil) mengingatkan petugas haji menyantuni jemaah negara sebaik-baiknya ketika Majlis Perhimpunan Petugas Haji di Mekah semalam.

‘Kami serahkan ibu ayah kami kepada TH ya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – “Kami serahkan ibu ayah kami kepada Tabung Haji ya.”

Demikian antara komen dite­rima Lembaga Tabung Haji (TH) yang menyentuh hati dan menggambarkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap amanah me­ngurus dan menjaga kebajikan jemaah di Tanah Suci.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, ung­kapan ringkas waris jemaah itu membawa makna besar kepada seluruh petugas haji negara.

“Begitu besarnya amanah yang kita galas jika kita selami sedalamnya kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan anak-anak jemaah kepada kita.

“Mereka ini bukan sekadar jemaah haji tetapi ibu bapa dan saudara-mara kita sendiri. Santunilah mereka sebaik dan seikhlas mungkin dengan jiwa yang tenang dan hati yang lapang,” katanya dalam nada sebak ketika menyampaikan amanat kepada petugas TH di sini semalam.

Mustakim berkata, tahap kepuasan jemaah haji Malaysia terhadap perkhidmatan TH juga terus menunjukkan peningkatan apabila Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) musim haji lalu mencapai 93 peratus, melepasi sasaran asal sebanyak 85 peratus.

Katanya, pencapaian itu me­rangkumi CSI Operasi Haji Tanah Air Fasa 1 sebanyak 97 peratus, Madinah (95 peratus), Mekah termasuk Masya’ir (85 peratus) serta Operasi Haji Tanah Air Fasa 2 sebanyak 96 peratus.

“Ini membuktikan komitmen dan disiplin tinggi petugas haji, pematuhan kepada SOP dan standard ISO serta semangat kerja berpasukan yang menjadi kekuatan utama operasi haji negara,” katanya.

Katanya, kualiti perkhidmatan yang diberikan TH bukan dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil pengalaman lebih 60 tahun menguruskan operasi haji rakyat Malaysia.

“Sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran dan ujian berjaya diharungi dengan baik hasil usaha berterusan serta komitmen semua pihak terlibat. Ramai mungkin tidak sedar bahawa perkhidmatan TH sebenarnya bertaraf dunia.

“Kita telah menerima Anugerah Labaytum daripada Kerajaan Arab Saudi empat kali dalam tempoh empat tahun. Insya-­Allah, kita akan terus berusaha memastikan pengiktirafan itu kekal menjadi milik TH bagi musim haji 1447 Hijrah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN