JOHOR BAHRU – Sebanyak 94.49 peratus atau 19,471 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung di seluruh negeri hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idris berkata, jumlah itu melibatkan anggota tentera dan pasangan serta anggota polis termasuk pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) yang layak mengundi awal.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 7,960 anggota tentera dan pasangan serta 11,511 anggota polis dan pasangan PGA telah selesai membuang undi di 62 pusat pengundian awal yang dibuka di seluruh Johor.
“Proses pengundian awal bermula pada pukul 8 pagi dengan pusat-pusat mengundi ditutup secara berperingkat iaitu pada pukul 12 tengah hari membabitkan 29 pusat mengundi, pukul 2 petang (lima pusat mengundi) dan pukul 5 petang melibatkan 28 pusat mengundi.
“Keseluruhan proses pengundian awal berjalan lancar,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, SPR turut merakamkan penghargaan kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan petugas yang berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sepanjang proses pengundian awal berlangsung.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan urusan pengundian awal berjalan dengan teratur.-KOSMO! ONLINE














