PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan 74 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan berskala besar di sekitar Puchong di sini semalam.
Operasi bermula pukul 11 pagi hingga 8 malam itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya susulan aduan awam serta risikan selama seminggu berhubung aktiviti warga asing dipercayai bekerja secara haram di beberapa premis perniagaan.
Menerusi satu kenyataan, seramai 59 pegawai imigresen digerakkan dalam operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 30 premis termasuk restoran, premis makanan, kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai dobi, kiosk perniagaan dan sebuah pasar raya besar.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 74 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh, India, Pakistan dan China berusia antara 23 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
JIM turut mengeluarkan lima Borang 29 saman kepada saksi melibatkan warga tempatan bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu, kegiatan menggaji warga asing secara haram dipercayai berselindung di sebalik lesen perniagaan tempatan bagi mengaut keuntungan mudah.
“Segelintir PATI dilihat semakin berani mencabar kewibawaan penguat kuasa dengan membuat provokasi, enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan, cuba melarikan diri dan menggunakan pelbagai helah bagi mengaburi tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Kesemua warga asing terbabit kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














