PETALING JAYA – Seorang wanita dari Eropah berkongsi pengalamannya berjalan kaki di sekitar Kuala Lumpur yang disifatkan sebagai ‘permainan survival’, lebih-lebih lagi ketika mahu melintas jalan.
Menerusi video dikongsikan wanita itu pada TikTok Verasplot, dia memaklumkan sangat menyukai ibu negara ini, namun dalam masa sama perlu ‘berjuang’ sepanjang menggunakan jalan di Kuala Lumpur.
“Jadi saya sekarang berada di KL, dan saya sangat suka KL. Tapi ada satu benda yang orang kena cakap juga. Saya suka KL, saya suka makanan di sini, saya suka rakyat Malaysia, mereka antara orang paling baik pernah saya jumpa.
“Saya dah mengembara di sekitar Asia hampir dua tahun sekarang. Saya sangat suka Malaysia, tapi saya ada satu persoalan. Kenapa rasa macam berjalan di KL ni macam ‘permainan survival’ sebenar?
“Walaupun ada laluan untuk melintas, tak ada siapa berhenti. Kereta langsung tak berhenti. Mereka bawa laju sangat dan kebanyakan masa pula macam tak ada laluan pejalan kaki. Saya rasa bila cuba berjalan di sini, macam tengah main Squid Game (drama Korea),” katanya pada hantaran itu.
Dia berkata, sebagai individu dari negara Eropah, sudah menjadi kebiasaannya berjalan termasuk ke kedai kopi yang hanya 10 minit dari rumahnya.
“Bagi saya okey saja untuk berjalan. Tapi di sini rasa macam saya tengah cuba untuk terus hidup, macam bertarung demi nyawa di atas jalan raya. Jadi saya cuma nak tahu, kenapa? Ada sesiapa boleh jelaskan?,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas termasuk rakyat Malaysia sama ada yang bersetuju dengan wanita tersebut dan ada juga memberi pandangan berbeza.
“KL sangat berpusatkan kereta. Kami pun sebenarnya tak suka,” komen Nurrizq.
“Memang macam ‘permainan survival’ walaupun untuk orang tempatan,” kata Zaidizainual.
“KL memang bukan direka untuk pejalan kaki. Ia direka untuk kereta. Lagipun cuaca di sini sebenarnya kurang sesuai untuk berjalan,” kata Abdulmutalibibr13. – KOSMO! ONLINE
@verasplot I think walking around the city is the BEST way to actually experience it – feel the vibe, the energy, see how people live, explore – so I really wish I can walk more in KL but I’m so scared 😭 #kualalumpur ♬ original sound – verasplot














