KUALA LUMPUR – Skuad regu lelaki negara terus memperagakan taring sebenar apabila membenam Filipina 2-0 untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Dalam aksi suku akhir itu, barisan kendalian Ahmad Jais Baharun mempertaruhkan trio utama negara iaitu Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam di posisi apit.
Percaturan tersebut nyata menjadi apabila Malaysia tampil cukup agresif untuk menundukkan trio Filipina yang dibarisi Ronsited Gabayeron, Glindel Phori dan Vince Alysson Torno menerusi kemenangan straight set 15-9, 15-5.
Skuad negara bermula garang sebaik aksi dimulakan dengan servis kencang Syahir serta libasan tajam Azlan yang menyukarkan Filipina mencari rentak permainan sebenar.
Farhan turut memainkan peranan penting apabila beberapa kali berjaya mematahkan gerakan lawan selain memastikan corak permainan Malaysia kekal kemas dan tersusun sepanjang set pertama.
Meskipun Filipina cuba memberi tentangan menerusi beberapa serangan balas pantas, ketenangan dan disiplin tinggi dipamerkan pemain negara membolehkan Malaysia menutup set pertama dengan kemenangan 15-9.
Momentum tersebut diteruskan pada set kedua apabila Malaysia semakin menggandakan tekanan sehingga memaksa lawan melakukan beberapa kesilapan mudah selain gagal mengekang variasi serangan skuad negara.
Dominasi penuh itu menyaksikan Malaysia terus menjauhkan kedudukan sebelum menoktahkan kemenangan bergaya 15-5 sekali gus menghidupkan harapan untuk memburu gelaran dunia di laman sendiri.
Cabaran lebih getir menanti skuad negara apabila dijadual membuat perhitungan dengan Myanmar pada aksi separuh akhir esok, manakala satu lagi slot final akan menjadi rebutan antara Thailand dan Korea Selatan. KOSMO! ONLINE














