KUALA LUMPUR – Skuad kuadran negara dipaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan Filipina 15-13, 15-10 di Stadium Titiwangsa, malam ini.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila Malaysia berdepan tentangan sengit daripada kuartet Filipina yang dibarisi Jason Huerte, Rheyjey Ortouste, Datu Ken Interino dan Reynaldo Asilum.
Turun dengan sandaran besar selaku tuan rumah, pasukan negara yang diperkuatkan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi dilihat sedikit bergelut untuk mendapatkan rentak permainan terbaik pada awal aksi.
Filipina beberapa kali berjaya mengikat kedudukan menerusi pukulan deras serta pertahanan kemas sebelum Malaysia menggunakan pengalaman untuk menutup set pertama dengan kemenangan tipis 15-13.
Momentum itu diteruskan pada set kedua apabila skuad kendalian Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif tampil lebih tersusun terutama dalam aspek servis dan hadangan sekali gus memberi tekanan berterusan kepada lawan.
Malaysia akhirnya berjaya menoktahkan cabaran Filipina 15-10 untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, namun aksi tersebut jelas memberi amaran awal buat skuad negara menjelang pertemuan menentang Vietnam esok.
Pemain negara, Aiman mengakui faktor keletihan sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan pasukan selepas mengharungi dua aksi sengit sebelum ini.
“Alhamdulillah, syukur untuk perlawanan malam ini. Badan memang agak lesu sedikit, tetapi kami cuba atasi dengan semangat untuk mara ke separuh akhir.
“Dua perlawanan semalam pun kami harungi sampai tie-break, jadi memang agak penat. Tetapi itu bukan alasan untuk kami tidak beri yang terbaik,” katanya yang ditemui pemberita selepas perlawanan.
Mengulas cabaran bertemu Vietnam di separuh akhir, Aiman menegaskan skuad negara perlu segera memperkemaskan aspek pukulan dan hadangan bagi mengekang kekuatan lawan.
“Untuk menentang Vietnam, kami perlu perbaiki dari segi blocking dan pukulan untuk melepasi hadangan mereka. Kami akan fokus satu demi satu perlawanan dan cuba buat yang terbaik,” ujarnya. KOSMO! ONLINE














