fbpx
AZLAN Alias melakukan rejaman ketika membantu regu pertama negara menewaskan Thailand dalam aksi final regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi. Gambar: BERNAMA

Sukan Asia: Malaysia rentap ego Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penantian 36 tahun akhirnya berakhir apabila skuad sepak takraw negara menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-0 untuk merampas pingat emas acara regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Lebih manis, kejayaan di Nagoya City Mizuho Arena itu disempurnakan tanpa Malaysia perlu diheret ke regu penentuan, sekali gus mengulangi pencapaian kali terakhir muncul juara acara berkenaan pada Sukan Asia Beijing 1990.

Regu pertama yang dibarisi Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias terlebih dahulu memberikan mata penting buat negara selepas mengharungi pertarungan sengit tiga set sebelum menang 15-9, 5-15, 15-11.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia di depan 1-0 dan membuka laluan kepada regu kedua untuk menyempurnakan misi yang dinanti-nantikan sejak lebih tiga dekad lalu.

Tampil dengan peluang menoktahkan perlawanan, trio Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali tidak mensia-siakan kesempatan apabila mempamerkan aksi cukup kemas untuk menewaskan regu kedua Thailand 15-13, 15-11.

Mata kemenangan pada set kedua mencetuskan sorakan kem negara apabila keputusan 2-0 itu mengesahkan emas menjadi milik Malaysia tanpa perlu mempertaruhkan nasib menerusi regu ketiga.

Kemenangan kali ini juga menjadi penebusan manis buat anak buah Ahmad Jais Baharun selepas tewas kepada Thailand pada final Piala Raja Thai di Bangkok bulan lalu, selain meneruskan keyakinan hasil kejayaan menundukkan musuh sama pada final Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, Mei lalu.

Emas itu turut melengkapkan perjalanan penuh dramatik skuad negara di Aichi-Nagoya selepas terpaksa bertarung sehingga regu ketiga ketika menewaskan Indonesia 2-1 pada separuh akhir sebelum menampilkan aksi lebih sempurna pada pentas final untuk menamatkan penantian 36 tahun. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN