Sejak diperkenalkan tahun lalu, Ops Luxury menjadi simbol usaha pihak berkuasa menangani pelanggaran melibatkan kenderaan mewah, sekali gus mencabar persepsi lama bahawa hanya kenderaan ‘bilis’ menjadi sasaran. Namun, dalam kalangan rakyat, masih timbul persoalan sama ada kenderaan mewah benar-benar dikenakan tindakan setimpal atau sekadar disentuh secara bermusim.
Persepsi ini lahir daripada pengalaman dan pemerhatian yang membentuk tanggapan wujudnya jurang dalam penguatkuasaan. Dengan tempoh pelaksanaan yang kini melebihi setahun, Ops Luxury dilihat sebagai ujian penting terhadap prinsip keadilan tanpa pilih kasih.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Diyanatul Atiqah Zakarya bersama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop yang berkongsi cabaran dalam pelaksanaan Ops Khas Luxury serta usaha memperkukuh penguatkuasaan tanpa mengira status kenderaan dan pemilik.
KOSMO! AHAD: Sejak kebelakangan ini, kita melihat semakin banyak operasi melibatkan kenderaan mewah dijalankan oleh JPJ. Boleh jelaskan apakah sebenarnya Ops Luxury ini?
SITI ZARINA: Ops Luxury merupakan operasi khas oleh JPJ yang memfokuskan kepada pematuhan undang-undang dalam kalangan pemilik serta pemandu kenderaan mewah.
Kenderaan dalam segmen ini bukan sahaja bernilai tinggi, malah turut menjadi perhatian kerana terdapat sebahagiannya didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti cukai jalan tidak sah, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, serta kesalahan lalu lintas yang lain.
Kenapa JPJ memberi fokus kepada kenderaan mewah? Adakah ini satu bentuk ‘menyasarkan’ golongan tertentu?
Kita tidak menyasarkan mana-mana golongan. Prinsip JPJ jelas, iaitu undang-undang terpakai kepada semua tanpa mengira jenis atau nilai kenderaan.
Namun, Ops Luxury dilaksanakan berdasarkan risikan dan aduan awam yang mendapati terdapat tahap ketidakpatuhan yang agak ketara dalam segmen ini. Justeru, pendekatan lebih berfokus diambil bagi memastikan keadilan serta pematuhan di jalan raya.
Apakah kesalahan paling kerap dikesan dilakukan oleh pengguna jalan raya dalam Ops Luxury?
Antara kesalahan utama yang sering dikesan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans yang sah, nombor pendaftaran ‘fancy’ atau tidak mengikut spesifikasi serta penggunaan nombor pendaftaran milik kenderaan lain.
Selain itu, terdapat juga pengguna jalan raya melakukan kesalahan kerana lesen memandu tidak sah atau tamat tempoh.
Kesalahan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Terdapat persepsi bahawa pemilik kenderaan mewah mampu ‘terlepas’ daripada tindakan. Apakah respons JPJ?
Itu merupakan persepsi yang ingin kita ubah. Melalui Ops Luxury, kita buktikan bahawa tiada kompromi dalam penguatkuasaan.
Kenderaan boleh disita mengikut peruntukan undang-undang dan tindakan akan diambil tanpa mengira latar belakang pemilik.
Mesejnya jelas, pematuhan undang-undang adalah tanggungjawab semua.
Sepanjang tahun 2025, JPJ Negeri Melaka telah memeriksa sebanyak 489 kenderaan mewah, dengan 65 daripadanya diambil tindakan termasuk sitaan.
Bagi tahun ini pula, sebanyak 294 kenderaan mewah telah diperiksa dengan 43 daripadanya telah diambil tindakan serta disita.
Apakah impak Ops Luxury ini terhadap keselamatan jalan raya?
Operasi ini bukan sekadar penguatkuasaan, tetapi juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa, kenderaan mesti berada dalam keadaan sah dan selamat, pemandu perlu berlesen serta bertanggungjawab tiada sesiapa kebal daripada undang-undang.
Akhirnya, matlamat utama kita adalah untuk mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua.
Golongan manakah yang biasa dikesan melakukan kesalahan dalam Ops Luxury ini?
Kesalahan ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk individu berprofil tinggi seperti ahli perniagaan serta individu ‘bergelar’.
Dalam banyak kes, mereka memiliki beberapa kenderaan mewah dan ada antaranya jarang digunakan sehingga cukai jalan serta insurans tidak diperbaharui.
Apakah alasan yang sering diberikan oleh pemilik atau pemandu apabila diambil tindakan?
Antara alasan yang sering diberikan adalah mereka hanya ingin ke premis cucian kereta. Namun, pemeriksaan mendapati lokasi tangkapan tidak berdekatan seperti yang didakwa yang mengambil masa lama untuk menuntut semula kenderaan yang disita dengan alasan kekangan kewangan. Ini menunjukkan tidak semua pemilik kenderaan mewah benar-benar berkemampuan menanggung kos pematuhan.
Untuk makluman, kos memperbaharui insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan mewah boleh mencecah sekitar RM8,000 setahun, bergantung kepada jenis kenderaan.
Adakah JPJ mengesan sebarang taktik tertentu yang digunakan untuk mengelak daripada memperbaharui insurans dan LKM?
Ya, antara taktik dikesan adalah penggunaan nombor pendaftaran milik kenderaan lain pada kenderaan mewah bagi mengelakkan bayaran lebih tinggi.
Perbuatan ini merupakan kesalahan serius kerana melibatkan pemalsuan identiti kenderaan dan boleh mengelirukan pihak berkuasa serta menjejaskan keselamatan jalan raya.
JPJ memandang serius perkara ini dan tindakan tegas akan diambil.
Melihat kepada profil yang terlibat, termasuk golongan muda, adakah ini bermaksud mereka semua benar-benar berkemampuan atau kaya?
Tidak semestinya. Tidak semua individu yang dilihat menggunakan kenderaan mewah benar-benar berkemampuan.
Terdapat juga kes di mana kenderaan tersebut bukan milik sendiri, sebaliknya disewa atau digunakan bagi tempoh tertentu.
Malah, berdasarkan maklumat daripada agensi berkaitan, ada juga aset lain seperti kediaman yang diperoleh secara sewaan.
Justeru, persepsi bahawa semua yang menggunakan kenderaan mewah itu adalah golongan berada tidak tepat. Apa yang penting adalah setiap individu perlu memastikan kenderaan yang digunakan mematuhi undang-undang tanpa mengira status pemilikan.
Apakah harapan JPJ kepada semua pemilik kenderaan berhubung pematuhan LKM dan insurans, terutama dengan sistem digital yang semakin meluas?
Dalam era digital, pemilik kenderaan memang lebih mudah untuk memperbaharui LKM dan insurans, tetapi pada masa sama kami memahami ada yang masih terlepas pandang kerana tiada lagi pelekat fizikal seperti dahulu.
Justeru, JPJ menasihatkan semua pemilik supaya lebih peka dan membuat semakan berkala melalui platform digital yang disediakan.
Kemudahan ini sepatutnya digunakan untuk memastikan kenderaan sentiasa sah di jalan raya, bukan dijadikan alasan untuk lupa atau cuai.














