TANJUNG MALIM – Kemahiran dan aksi tarian tersendiri Fakir Mohamed Jamal Mohamed, 51, ketika melakukan persembahan teh tarik bukan sahaja memukau khalayak tetapi membawanya menjelajah sehingga ke 13 negara.
Beliau yang mula serius dengan kebolehan unik itu sejak 2003 memaklumkan telah menerima jemputan beraksi sehingga ke 13 buah negara dengan kadar bayaran yang lumayan.
“Saya berpeluang ke Australia, Mesir, Switzerland, Jerman, England, Jepun, Korea Selatan, China dan Indonesia.
“Selain itu, Brunei, Singapura, Thailand dan Australia dengan semua kos tiket kapal terbang serta penginapan ditanggung sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di satu majlis perkahwinan di sini baru-baru ini.
Fakir Mohamed berkata, setakat ini, bayaran paling tinggi diterimanya sebanyak RM5,000 semasa melakukan persembahan di Switzerland beberapa tahun dahulu.
“Secara purata, saya beraksi satu atau dua kali sebulan termasuk memenuhi jemputan program anjuran kerajaan atau swasta termasuk majlis perkahwinan di seluruh negara.
“Niat saya, bukan sekadar persembahan tetapi memperkenalkan teh tarik sebagai minuman kegemaran rakyat negara ini di seluruh dunia,” katanya.
Beliau juga bangga memakai pakaian tradisional negara ini seperti baju Melayu, samping dan songkok setiap kali melakukan persembahan.
“Pakaian tradisional wajib dipakai setiap kali persembahan di dalam atau luar negara kerana itulah peluang bagi penonton mengenali budaya negara khususnya berkaitan kaum Melayu.
“Saya konsisten menyertai pertandingan persembahan aksi teh tarik dan biasanya muncul johan atau naib johan. Bukan mahu menang sangat, tetapi untuk meningkatkan kemahiran selain kepuasan pelanggan serta penonton,” katanya.














