MENTALITI pemain menjadi rahsia utama kepada kemenangan besar 9-0 Selangor FC ke atas Malaysian University pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.
Pengendali The Red Giants, Katsuhito Kinoshi tidak mampu meminta lebih daripada anak buahnya yang disifatkan memiliki kemahuan untuk memastikan kejayaan 12-1 secara agregat bagi meneruskan kemaraan ke suku akhir.
“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain saya, bukan sahaja di atas padang, tetapi juga mereka menunjukkan mentaliti, tidak pernah berputus asa dan berjuang hingga ke minit akhir.
“Mereka terus berlari dan berfikir tentang taktik, apa yang boleh mereka lakukan dan apa yang tidak patut mereka lakukan.Sudah tentu 9-0 adalah keputusan yang baik, tetapi saya sangat gembira melihat mentaliti mereka.
“Ini adalah perkara yang sangat penting bagi saya tetapi selepas wisel penamat dibunyikan, kami mesti fokus pada perlawanan seterusnya.Kita ada banyak perlawanan dalam bulan ini, jadi yang lepas biarlah lepas,” katanya.
Pada perlawanan itu, bintang import baharu tuan rumah, Chrigor Moraes cemerlang merakam hatrik manakala Kevin Deeromram menyumbangkan dua gol diikuti satu gol daripada Alvin Fortes, Zach Clough, Zikri Khalilil dan Quentin Cheng.
Kinoshi juga menjelaskan kemenangan kali ini tidak hanya untuk meneruskan kemaraan sebaliknya bakal jadi tonik sebelum hadapi kelab Thailand, Bangkok United pada siangan Liga Juara-Juara 2 (ACL 2), Khamis ini














