KUANTAN – Seorang pengamal perubatan tidak bertauliah menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menjalankan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran yang sah.
Tertuduh, Aina Najwa Syfulnizam, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Pada 24 Julai lalu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Aina Najwa didakwa menyediakan klinik perubatan swasta yang tidak berdaftar di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Tertuduh menjalankan perkhidmatan suntikan menerusi kaedah titisan intravena (IV) di premis Aina Medispa, No. 8, Jalan Pantai Kampung Balok, pukul 2.20 petang pada 12 September tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Kementerian Kesihatan, Shamsulnizam Kassim, manakala tertuduh diwakili peguam Halimaton Saadiah Abu Samah. Mahkamah menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE