fbpx
Mohd. Isa

Semakan hukuman Isa Samad ditangguh, pihak-pihak teliti rakaman CRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pendengaran permohonan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan ditangguhkan di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, menangguhkan prosiding itu bagi membolehkan kedua-dua belah pihak meneliti Rakaman Dan Transkripsi Mahkamah (CRT) pada dua prosiding ketika rayuan dan keputusan di Mahkamah Persekutuan pada 5 dan 10 Februari lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan esok bagi pengurusan kes dan akan menetapkan tarikh pendengaran seterusnya.

Terdahulu, peguam M.Athimulan yang mewakili Mohd. Isa memberitahu mahkamah, pihaknya tidak dapat menyediakan afidavit bagi mengemukakan pembelaan berhubung mitigasi (rayuan diringankan hukuman), berikutan tidak dibenarkan mendapatkan rakaman terbabit.

Peguam itu berkata, permohonan itu dibuat dengan alasan terdapat dakwaan menyatakan bahawa pembelaan tidak mengemukakan sebarang mitigasi berhubung hukuman terhadap anak guamnya sedangkan beliau tidak pernah diminta untuk berbuat demikian.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz menyatakan permohonan itu adalah tidak wajar kerana isu berkenaan sudah pun selesai di mana ia sudah dijawab oleh pihak-pihak.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Mohd. Isa yang kini menjalani hukuman dipenjara Sungai Buloh memfailkan semakan terhadap hukuman itu pada 4 Mac lalu dibawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Pada 10 Februari lalu, Mohd. Isa diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan Mohd. Isa, 77, terhadap sembilan pertuduhan itu selain mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan Mohd. Isa sebelum ini.

Justeru dengan sabitan dan hukuman itu, mahkamah tertinggi negara mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Mohd. Isa termasuk hukuman yang dijatuhkan.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Lee Swee Seng Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.

Ketika membaca penghakiman, Hakim Nordin berkata dapatan hakim bicara (di Mahkamah Tinggi) adalah disokong oleh keterangan dan selaras dengan undang-undang.

Hakim Nordin selanjutnya menyatakan, Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengusik dapatan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukum responden terhadap kesemua pertuduhan pada 3 Februari 2021.

Ujar beliau, ini kerana SP21 menyatakan, Mohd. Isa sendiri mengarahkan beliau untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel yang juga SP16.

Mahkamah Persekutuan juga bersetuju, SP21 merupakan perantara yang menerima wang daripada SP16 manakala penyerahan wang tersebut yang dilakukan sebanyak sembilan kali menguatkan kes pendakwaan.

SP21 kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang itu secara berperingkat kepada Mohd. Isa.

Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun lalu dengan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan beliau.

Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd. Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd, Ikhwan Zaidel.

Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd. Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN