fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Lelaki dijel sehari, denda RM2,000 curi pencanai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku mencuri sebuah pencanai di sebuah pusat hemodialisis di Bachang, awal bulan ini.

Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Amirul Mukhairi Azahari, 29, yang mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri sebuah mesin grinder (pencanai) milik Tan Ban Soon di dalam bangunan Pusat Haemodialisis Bachang Melaka.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.24 tengah hari di alamat No. 421G, Jalan Melor 1, Taman Peringgit Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Mei lalu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu hukuman minimum atas alasan hanya bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa dengan pendapatan sekitar RM500 seminggu selain perlu menanggung isteri, seorang anak dan ibunya yang menghidap sakit buah pinggang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shauki Mardia Baharudin memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana perbuatan itu melibatkan unsur niat dan bukannya keperluan mendesak selain kejadian turut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dari tarikh sabitan dan denda RM2,000 atau penjara tambahan dua bulan jika gagal bayar denda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN