PERUBAHAN landskap dan penambahan infrastruktur merupakan salah satu tanda transformasi di sesebuah negara.
Di Malaysia, hal itu dapat dilihat dari aspek pembinaan apabila terdapat banyak projek yang dibangunkan terutamanya di sekitar ibu kota bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak.
Namun, sektor pembinaan dilihat masih kekal antara industri yang paling kurang produktif, dan jauh ketinggalan berbanding bidang pembuatan serta perkhidmatan.
Menurut Profesor Madya di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Prof. Eeydzah Aminudin, situasi itu berlaku kerana pengiraan produktiviti negara tidak mengambil kira pembuatan bahan pembinaan sebagai sebahagian daripada sektor berkenaan.
“Hari ini, industri pembinaan masih didominasi amalan intensif buruh dengan kebergantungan besar kepada pekerja asing berkemahiran rendah.
“Manakala penerapan kaedah moden seperti Industrialised Building System (IBS), mekanisasi dan alatan digital, Building Information Modelling (BIM) masih terhad.
“Pada masa sama, permintaan terhadap projek mega seperti Lebuh Raya Pan Borneo, sistem transit aliran massa (MRT) dan program pembaharuan bandar semakin meningkat. Keperluan untuk merombak produktiviti sektor pembinaan dilihat tidak terlalu mendesak,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, selari dengan aspirasi Kementerian Kerja Raya (KKR) 2026-2030 yang menekankan peningkatan kerencaman ekonomi, mobiliti sosial, reformasi perkhidmatan awam serta kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar, maka kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai pemangkin transformasi.
Dalam sektor pembinaan, AI bukan sekadar automasi, tetapi ‘enjin’ pintar yang mengurus data, meramal risiko, meningkatkan keselamatan serta menambah baik kualiti hasil binaan.
Ujarnya, tapak binaan juga akan menjadi lebih pintar apabila AI menyelaras kerja manusia, mesin dan sistem digital.
Kongsinya, sekiranya diterapkan dengan berkesan, AI berpotensi melonjakkan produktiviti yang selama ini menjadi titik lemah industri pembinaan.
“AI mempercepatkan transformasi digital melalui integrasi dengan BIM, IoT dan Cloud Computing. BIM yang diperkasa dengan AI akan menghasilkan model tiga dimensi (3D) lebih tepat,” ujarnya.
“SEMENTARA itu, IoT pula akan membekalkan data masa nyata dari sensor di tapak binaan, manakala Cloud membolehkan analisis secara besar-besaran dilakukan.
“Gabungan teknologi ini menjadikan pengurusan projek binaan lebih teliti, kos lebih terkawal dan komunikasi antara pihak berkepentingan lebih lancar,” ujarnya.
Menurut Eeydzah lagi, AI juga akan menggerakkan analitik ramalan yang boleh menggabungkan data cuaca, penghantaran bahan serta tenaga kerja untuk memastikan projek kekal mengikut jadual ditetapkan.
Dalam konteks aplikasi, teknologi AI sangat berpotensi untuk meningkatkan produktiviti dan keselamatan di tapak binaan.
Usaha itu boleh dilakukan dengan gabungan computer vision, analitik ramalan serta integrasi AI dengan BIM, IoT dan ‘digital twin’.
Computer vision melalui kamera litar tertutup (CCTV), dron dan kamera 360 darjah dapat mengesan pemakaian alat perlindungan diri (PPE) oleh pekerja, jatuhan, zon bahaya dan kecacatan kualiti secara masa nyata.
Ini sekali gus dapat menyokong pematuhan Reka Bentuk dan Pengurusan Pembinaan (CDM) 2024 dalam menggunakan data sebagai rujukan untuk menganalisis risiko di peringkat awal projek.
Sementara itu, analitik ramalan pula dapat membantu meramal kelewatan, variasi kos, kegagalan peralatan dan kesan cuaca bagi menambah baik penjadualan, logistik dan peruntukan kru.
Kongsinya, gabungan AI dengan BIM/4D/5D dan ‘digital twin’ membolehkan simulasi senario, kawalan kemajuan masa nyata serta keputusan what-if yang lebih tepat.
“IoT dan peranti boleh pakai dapat memantau habuk, bunyi, gas, suhu, lokasi serta keletihan. Sementara itu, geofencing pula untuk permit-to-work.
“Realiti tambahan (AR)/realiti maya (VR) yang dipacu AI akan mempercepatkan latihan, pemasangan dan pemeriksaan, sekali gus meningkatkan disiplin keselamatan di tapak binaan,” ujarnya.
Bagi memungkinkan teknologi AI dapat disulam dalam sektor pembinaan, kerjasama pelbagai pihak daripada kerajaan, pakar dan swasta amat diperlukan.
Berkongsi tentang pandangan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Shah Alam, Dr. Mazlina Zaira Mohammad memberitahu, Malaysia telah menunjukkan keterbukaan luar biasa dalam menerima teknologi AI, bukan sahaja di peringkat kerajaan, malah melalui keterlibatan industri dan akademia.
Golongan pakar pula dapat memastikan integrasi AI berjalan lancar dengan memimpin jawatankuasa pemandu melibatkan KKR, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),Jabatan Kerja Raya (JKR) serta JabatanKeselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bagi menyelaras petunjuk indeks prestasi (KPI).

“Kajian AI dalam industri pembinaan perlu diteruskan bagi penambahbaikan penggunaan AI.
“Penubuhan National Artificial Intelligence Office (NAIO) merupakan langkah penting bagi memastikan penyelarasan pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus memacu ekosistem AI kebangsaan serta menjadi jambatan kepada kerjasama antarabangsa.
“Salah satu peluang paling strategik adalah melalui United Kingdom-Malaysia AI Partnership yang membuka ruang besar dalam pembangunan ‘smart cities’,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi itu bukan sahaja memperkayakan kepakaran Malaysia dengan pengalaman global, malah menyediakan peluang kepada kontraktor, pemaju, perunding, penyelidik, malah masyarakat awam untuk terlibat dalam ekosistem bandar pintar.
Dalam pada itu, Pengarah Jualan dan Sokongan Pelanggan Astasoft iaitu syarikat penyedia sistem AI, Kughanathan Kuppusamy berkata, dia percaya AI semakin menjadi pemangkin utama dalam industri pembinaan dan kejuruteraan.
Ujarnya, dekad akan datang bakal menyaksikan perubahan besar dari segi reka bentuk, pelaksanaan projek, keselamatan dan keberkesanan kos.
Dia memaklumkan, AI boleh digunakan dalam konsep ‘closed-loop delivery’ yang menghubungkan proses reka bentuk, simulasi, pembinaan dan penderiaan di tapak binaan sehinggalah penggunaan digital twins serta IoT.
Teknologi itu juga dilihat mampu menjadikan setiap projek pembinaan lebih pintar dan berdaya tahan.
“Bayangan terbesar adalah lahirnya sistem yang belajar secara berterusan dan mencadangkan pelarasan reka bentuk sebelum masalah sebenar berlaku.
“Ibarat cruise control untuk projek, ia dapat memastikan perjalanan pembinaan lebih lancar, selamat dan dalam bajet ditetapkan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, AI bukan lagi sekadar alat tambahan, tetapi bakal menjadi ‘enjin’ utama yang mengubah cara industri pembinaan berfungsi.
Malah, masa depan pembinaan pintar sudah pun bermula dengan AI menjadi arkitek utamanya.















