KHARTOUM – Tentera udara Sudan memusnahkan sebuah pesawat dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang didakwa membawa askar upahan Colombia ketika ia mendarat di lapangan terbang yang dikawal pasukan separa tentera di wilayah Darfur.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang, lapor stesen televisyen kerajaan yang bersekutu dengan tentera semalam.
Sumber tentera yang bercakap kepada AFP dengan syarat enggan namanya disiarkan berkata, pesawat UAE itu dibom dan musnah sepenuhnya di lapangan terbang Nyala di Darfur.
Lapangan terbang itu baru-baru ini mengalami serangan udara berulang oleh tentera Sudan yang ketika ini berperang dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) sejak April 2023.
Presiden Colombia, Gustavo Petro berkata, kerajaannya sedang berusaha untuk mengenal pasti bilangan warga Colombia yang mati dalam serangan itu.
Stesen televisyen tempatan berkata, pesawat itu berlepas dari sebuah pangkalan udara di Teluk dengan membawa berpuluh-puluh pejuang asing dan peralatan ketenteraan untuk RSF.
Tentera Sudan yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Burhan, telah lama menuduh UAE membekalkan senjata canggih termasuk dron kepada RSF melalui lapangan terbang Nyala.
Abu Dhabi bagaimanapun menafikan tuduhan itu walaupun terdapat banyak laporan daripada pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pegawai politik Amerika Syarikat dan organisasi antarabangsa. – AFP