MONTMELO, Sepanyol – Ducati memberi sepenuh tumpuan untuk membantu pelumbanya, Francesco Bagnaia menemui semula sentuhan sebenar meskipun bekas juara Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu terus bergelut sepanjang musim ini.
Pelumba ujian Ducati, Michele Pirro mendedahkan, segala usaha sedang dilakukan untuk mengembalikan semula prestasi konsisten bintang dari Itali itu yang kini ‘tenggelam’ di sebalik kemunculan semula prestasi cemerlang rakan sepasukannya, Marc Marquez.
“Kami cuba bantu Pecco (Bagnaia) dalam semua cara yang mungkin tetapi kadang kala ia masih belum mencukupi.
“Pecco telah banyak menyumbang kepada Ducati dan bawa pulang kejuaraan dunia. Saya sendiri telah melihat perkembangannya dalam pasukan ini, jadi apabila dia dalam kesukaran, ia turut memberi kesan kepada saya secara peribadi,” ujarnya.
Bekas juara dunia dua tahun berturut-turut itu sering ketinggalan di belakang Marquez, yang pantas menunjukkan kemampuan luar biasa meskipun masih dalam musim sulung bersama pasukan pengilang dari Itali itu.
Pirro mengakui, kehadiran Marquez turut menjadi cabaran besar buat Bagnaia yang sering mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan jentera.
“Marc (Marquez) tidak banyak membangkitkan masalah, dia cepat sesuaikan diri dan menjadikan kerja lebih sukar untuk kenal pasti apa sebenarnya yang tak kena dengan Pecco.
“Tetapi kami akan terus mencuba. Kami tiada tongkat sakti atau alat yang terus berkesan sebaik dipasang. Semua perlu diuji dalam perlumbaan sebenar dan ia sangat sukar.
“Saya yakin jika Pecco dapat temui semula perasaan terbaiknya dalam separuh kedua musim ini, dia boleh kembali berada di landasan yang betul tahun depan,” kata Pirro. – AGENSI