JASIN – “Saya terkejut tiba-tiba ramai yang berlari mengejar dia (mangsa) dari kawasan pasar raya sampai ke sungai.”
Demikian cerita saksi yang mahu dikenali sebagai Suraya, 32, berhubung kejadian seorang lelaki yang maut dipercayai dibelasah sekumpulan individu berhampiran sebuah pasar raya besar di Bandar Jasin Bestari di sini kelmarin.
Menurut wanita itu, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah premis menjual perhiasan diri sebelum menyedari berlaku kekecohan dari dalam pasar raya berkenaan.
“Saya dengar bunyi kecoh sebelum beberapa pekerja dilihat berlari keluar sambil menjerit dan mengejar seorang lelaki sehingga ke sebatang anak sungai yang terletak di belakang bangunan ini.
“Difahamkan, lelaki itu (mangsa) menunjukkan kemaluannya kepada seorang pekerja wanita menyebabkan rakan sekerjanya cuba menangkap si pelaku,” katanya.

Suraya berkata, si mati kemudian bertindak terjun ke dalam sungai tersebut bagi meloloskan diri sebelum naik semula di kawasan lot bangunan kedai yang terletak di seberang.
Katanya, kejadian cemas turut disaksikan pekerja bengkel kenderaan suaminya yang berada di bangunan tersebut.
“Kebetulan semasa mangsa naik dekat depan bengkel suami, pekerjanya beritahu dia kenal lelaki tersebut kerana anaknya pernah menghantar motosikal ke bengkel,” katanya.
Difahamkan, ketika mangsa memanjat tebing, beberapa individu sudah menunggunya sebelum membelasah lelaki itu.
Salah seorang daripada suspek tersebut dipercayai memijak kepala mangsa sebanyak beberapa kali.














