PETALING JAYA – Himpunan Turun Anwar yang berlangsung secara aman di ibu negara semalam menjadi bukti nyata kematangan demokrasi dan keterbukaan era pentadbiran Kerajaan Madani.
Pengarah Komunikasi Keadilan, Adam Adli Abd Halim berkata, Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai.
Beliau berkata, hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.
“Dalam suasana baharu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan.
“Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita; mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adam Adli berkata, cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat.
“Usaha kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.
“Di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat
semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca
pandemik,” katanya.
Beliau berkata, Keadilan melihat himpunan semalam bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.
“Perbezaan pandangan harus diraikan. Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang, kedua-duanya penting dan wajar dilindungi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar pembangkang supaya menunjukkan kematangan yang sama, termasuk mendidik penyokong agar berhujah secara rasional dan berhemah.
“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati dari ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya. Kita semua sedang mencorak wajah baharu Malaysia. Negara yang lebih terbuka, matang dan adil.
“Inilah semangat Madani, rakyat bebas bersuara tanpa rasa takut, dan kerajaan pula sedia mendengar tanpa angkuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE