KLUANG – “Saya tidak pasti kenapa dia diturunkan di simpang tiga itu walaupun jaraknya hanya kira-kira 100 meter dari rumah kerana biasanya dia akan turun di depan rumah.”
Demikian luahan pilu Khairul Annuar Salim, 50, bapa saudara kepada Muhammad Umar Mohd. Faaiz, 7, yang maut selepas dipercayai dilanggar bas sekolah yang dinaikinya ketika pulang dari Sekolah Rendah Agama Sri Lalang di sini petang semalam.
Menurutnya, kejadian itu amat sukar diterima keluarga kerana arwah yang merupakan anak sulung tiga beradik lazimnya diturunkan betul-betul di hadapan rumah setiap kali pulang dari sekolah kebangsaan mahupun sekolah agama menggunakan bas yang sama.
“Saya tidak menyangka perkara ini berlaku kerana selama ini memang dia akan turun di depan rumah. Sebab itu saya tidak pasti kenapa semalam dia diturunkan di simpang tiga itu,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, di sini hari ini.
Khairul Annuar berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pemandu bas wanita berusia 36 tahun itu pada awalnya telah memastikan Muhammad Umar melintas jalan melalui bahagian belakang bas sebelum meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun, katanya, keluarga masih tidak mengetahui bagaimana kanak-kanak itu tiba-tiba berada di bahagian sisi bas sehingga dilanggar sebelum terjatuh di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, Muhammad Umar tinggal bersama datuknya, Salim Othman, 72, dan neneknya, Zaiton Shaari, 70, manakala ibu bapanya masing-masing bekerja di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.-KOSMO! ONLINE.















