fbpx
Fadhlina ketika di Dewan Rakyat hari ini. FOTO JAPEN

KPM teliti setiap kes keselamatan murid secara berasingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti setiap insiden melibatkan keselamatan murid secara berasingan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan faktor yang mencetuskan sesuatu kes.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM juga akan memperkukuh audit keselamatan sekolah menerusi penubuhan jawatankuasa khas yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan organisasi bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat.

Katanya, setiap insiden bukan hanya membabitkan aspek keselamatan fizikal, malah turut melibatkan faktor psikoemosi dan kesihatan mental murid.

“Setiap kes akan dilihat secara berasingan kerana ia melibatkan pelbagai faktor, bukan sekadar isu keselamatan semata-mata.

“KPM turut mendapat sokongan dan kepakaran daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi memastikan aspek keselamatan bangunan, longkang dan kebakaran dipantau serta diselaraskan dengan lebih berkesan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai langkah KPM memastikan keselamatan murid di sekolah terus terpelihara.

Menurut Fadhlina, keselamatan dan perlindungan murid menjadi keutamaan KPM melalui lima fokus utama iaitu pencegahan, pemantauan, pelaporan, intervensi dan penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai kementerian serta agensi.

Beliau berkata, Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang dilancarkan pada 11 Jun lalu kini menjadi rujukan utama semua institusi pendidikan.

Dalam usaha membanteras buli, katanya, KPM sedang mengemas kini garis panduan pengurusan kes selaras dengan Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa pada 16 Jun lalu.

Bagi sekolah berasrama pula, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diperluaskan daripada 200 sekolah tahun lalu kepada 333 sekolah pada tahun ini, selain pelantikan 300 warden asrama bermula 1 April bagi memperkukuh pemantauan murid terutama pada waktu malam.

Mengulas kebimbangan ibu bapa mengenai isu buli, Fadhlina berkata setiap kes akan dinilai secara menyeluruh dengan bantuan kaunselor bertauliah serta kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) serta agensi berkaitan mengikut keperluan murid.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN