GADIS genius dari Petaling Jaya, Selangor itu bagaikan tidak percaya apabila dirinya diterima masuk mengikuti pengajian ke universiti dambaannya, Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat.
“Ketika saya buka laman keputusan dan ternampak ‘animasi konfeti’ (simbol tahniah) di skrin, saya terkejut dan tidak percaya.
“Bagi pastikan tidak tersalah, saya keluar laman tersebut dan log in semula. Sekali lagi, surat tawaran dan ‘animasi konfeti’ sama muncul,” kata Leia Mayssa Masyerin, 18, kepada K-Kampus.
Merupakan alumni Pusat Permata@Pintar Negara (PPPN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Leia Mayssa yang kini menuntut di Kolej Mara Banting teruja untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di MIT.
MIT disenaraikan sebagai universiti nombor satu dunia oleh QS World University Rankings selama 13 tahun berturut-turut.
MIT berada di tangga teratas universiti terbaik dunia sering dianggap sebagai institusi yang sukar ditembus oleh pelajar Malaysia.
Pun begitu, tanggapan tersebut disangkal Leia Mayssa apabila mencipta sejarah menjadi satu-satunya pelajar Malaysia yang berjaya menempah slot pengajian ijazah sarjana muda di universiti berprestij tersebut bagi sesi 2025.
Bakal berlepas menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Kejuruteraan Ogos depan, dia mengakui peluang tersebut bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan.
MIT yang terkenal dengan mercu tanda ikoniknya iaitu Great Dome turut mengungguli QS World University Rankings di tangga pertama dalam 11 subjek bagi 2025.
Subjek-subjek itu ialah Kejuruteraan Kimia; Kejuruteraan Awam dan Struktur; Sains Komputer dan Sistem Maklumat; Sains Data dan Kecerdasan Buatan; Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Linguistik; Sains Bahan; Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pengeluaran; Matematik; Fizik dan Astronomi; serta Statistik dan Penyelidikan Operasi.
Berkongsi lanjut, anak sulung daripada dua beradik ini memberitahu, Pusat Permata@Pintar Negara (PPPN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tunjang utama kepada kejayaannya sekali gus merealisasikan impiannya untuk terbang ke universiti tersebut.
Akuinya, PPPN bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi rumah kedua yang penuh kenangan manis dan banyak mencorak kehidupannya sampai ke detik ini.
“Saya melanjutkan pelajaran ke PPPN ketika berumur 13 tahun dari tahun 2020 hingga 2023. Di sana, saya memperoleh Permata@Pintar High School Diploma (HSD) serta keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
“Selepas itu, saya menyertai program prauniversiti International Baccalaureate (IB) di Kolej Mara Banting bawah program YTP (Young Talent Program).
“Semasa semester kedua di kolej inilah saya mendapat tawaran menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Sains Komputer di MIT,” katanya.

Mengenai PPPN UKM, ia merupakan sebuah kolej yang bukan sahaja menyediakan platform pendidikan, tetapi memberi kesedaran serta motivasi kepada generasi baharu melibatkan diri dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ditubuhkan pada 2009 di UKM Bangi, ia merupakan satu program khas atau bitara yang mempunyai sukatan pelajaran bersesuaian tahap intelek pelajar dalam membentuk insan cemerlang dan terkedepan. Seiring untuk memperjuangkan murid pintar intelek semula jadi ini, PPPN UKM menyediakan kokurikulum yang setara dengan kelebihan masing-masing.
PPPN meletakkan lima komponen utama yang dinilai sebagai Purata Nilai Gred (CGPA) pelajar bagi membolehkan mereka peroleh HSD Permata@Pintar.
Selain komponen akademik, portfolio, jati diri dan kokurikulum, 10 peratus dinilai dari segi penulisan serta laporan penyelidikan menerusi kerjasama dengan pensyarah di setiap fakulti di UKM.
PPPN bermatlamat membentuk dan menghasilkan kemenjadian holistik pelajar pintar berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Leia yang merupakan alumni PPN UKM ini boleh dikatakan seorang genius dalam matematik. Gadis berzodiak Virgo ini tidak menafikan penglibatannya dalam Olympiad Matematik Antarabangsa Dunia (IMO) selaku wakil Malaysia dari 2022 hingga 2024 turut memudahkan laluannya memasuki MIT.
Dia mewakili Malaysia dalam IMO di Oslo, Norway pada 2022, Chiba, Jepun (2023) dan Bath, United Kingdom (2024).
“IMO merupakan pertandingan matematik paling berprestij di dunia yang boleh dianggap sebagai ‘olimpik’ dalam bidang matematik.
“IMO pertama diadakan di Romania pada tahun 1959. Sejak itu, saban tahun, lebih 100 negara menyertai pertandingan ini dan setiap negara hanya boleh menghantar maksimum enam orang pelajar sebagai wakil.
“Pertandingan ini terdiri daripada enam soalan sahaja dan mengambil masa selama sembilan jam serta diakhiri dengan peperiksaan.
“Soalannya merangkumi topik seperti geometri, teori nombor, algebra serta kombinatorik dan ia sungguh mencabar sehingga menjawab satu soalan dengan betul pun sudah melayakkan seseorang peserta untuk menerima anugerah.
“Mewakili Malaysia dalam IMO selama tiga tahun berturut-turut merupakan pengalaman yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan,” ujarnya.
Ceritanya, sepanjang pertandingan, dia berpeluang bertemu dan berkawan dengan pelajar-pelajar berbakat dan menginspirasi dari seluruh dunia. Dia juga berpeluang bersemuka dengan tokoh-tokoh terkenal dunia matematik, termasuk penerima pingat Fields seperti Terence Tao dan Maryna Viazovska.
Namun, akuinya, perjalanan ke IMO bukan suatu yang mudah kerana proses latihan dan pemilihan sangat mencabar dan perlukan komitmen jangka panjang.
“Saya sendiri bermula dan terlibat dalam matematik kompetitif sejak usia 10 tahun di Sekolah Rendah Sri KDU.
“Daripada beribu-ribu peserta, hanya sekitar 100 pelajar terbaik akan dipilih ke bengkel IMO iaitu sebuah program intensif merangkumi kuliah, latihan mingguan, tugasan rumah dan ujian berkala.
“Bengkel ini berlangsung dalam banyak peringkat sepanjang tahun dan hanya enam peserta terbaik yang akhirnya dipilih wakili Malaysia ke IMO.
“Pengalaman ini mengajar saya banyak perkara, bukan sahaja dari segi ilmu matematik, tetapi juga tentang ketahanan diri dan kekuatan mental.
“Saya sendiri pernah alami banyak kesukaran, tetapi saya belajar untuk terus berusaha dan jangan mudah berputus asa,” tuturnya yang membawa pulang satu pingat gangsa dan dua honorary mentions sepanjang terlibat dengan IMO.
Lebih membanggakan, Leia juga pernah menjadi satu-satunya pelajar mewakili negara dalam kem matematik berprestasi tinggi dikenali Maths Beyond Limits (MBL) di Poland pada 2024.
Dia turut dijemput untuk menyertai satu lagi edisi iaitu MBL Balkans 2025 pada April lalu yang berlangsung selama 10 hari di Bosnia dan Herzegovina.
Pun begitu, tidak dinafikan setiap rekod manis dikecapi pasti diharungi dengan pelbagai cabaran dan liku.
Leia Mayssa akui cabaran terbesar bagi dirinya adalah ketika mana dia kerap berasa tidak cukup bagus. Ia berlaku terutama kala berada dalam komuniti yang dipenuhi individu hebat dari seluruh dunia seperti komuniti matematik di IMO.
“Saya sering dikelilingi individu yang luar biasa hebat dan sangat menguasai bidang mereka. Ini secara tidak langsung membuatkan saya mempersoalkan kebolehan sendiri sama ada saya benar-benar layak menerima peluang-peluang yang saya peroleh.
“Contoh mudah ketika di IMO, ia sememangnya amat mencabar. Ada masanya saya tidak capai keputusan memuaskan dalam ujian atau langsung tidak dapat selesaikan sesuatu soalan.
“Keadaan itu membuatkan saya kecewa, hilang keyakinan dan berasa sangat rendah diri. Hal ini menjejaskan harga diri saya dan membuatkan saya berasa seolah-olah saya tidak cukup baik.
“Cabaran ini adalah sesuatu yang saya masih cuba atasi hingga hari ini,” katanya.
Berkongsi apa yang bakal diterokai di MIT, kursus yang diambil memerlukannya berada di sana selama empat tahun.
“Sepanjang pengajian, saya akan ambil pelbagai kursus bidang sains komputer, matematik di samping penuhi keperluan subjek lain seperti fizik, biologi dan kimia. Saya percaya pengalaman di MIT akan buka ruang yang luas untuk saya teroka minat secara lebih mendalam, bina kemahiran baharu dan berkembang sebagai individu holistik,” katanya.














