KUANTAN – Meskipun tiada caj dikenakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk permit perjalanan sementara kenderaan namun terdapat sindiket penipuan yang mengenakan bayaran mencecah RM1,770 untuk mendapatkan permit berkenaan.
Malah sindiket berkenaan juga bertindik licik menyakinkan mangsa dengan menggunakan nama jabatan berkenaan dan pengarah JPJ Pahang dalam urusan perkhidmatan mereka.
Difahamkan permit berkenaan adalah bagi membawa motosikal jenis Yamaha Y15 dibeli mangsa dari Kuala Lumpur ke Kuantan di Pahang.
Menurut kenyataan JPJ Pahang pihaknya tidak pernah mengeluarkan permit perjalanan sementara bagi tujuan pemeriksaan kenderaan yang menggunakan nama dan tandatangan Pengarah JPJ Negeri Pahang.
“JPJ Negeri Pahang mengesahkan ia adalah palsu dan permit yang berkaitan hanya boleh dibuat di kaunter JPJ negeri atau cawangan sahaja tanpa memerlukan tandatangan pengarah.
“JPJ negeri Pahang menasihati orang awam agar sentiasa berhati-hati dalam urusan pembelian kenderaan, terutamanya pembelian melalui platform atau sumber yang disyaki tidak sahih,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya susulan itu juga pihak JPJ Pahang telah membuat satu laporan polis kelmarin untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu katanya, pihak JPJ amat mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaporkan sebarang tawaran atau dakwaan pihak ketiga berkaitan perkhidmatan JPJ bagi tindakan pengesahan dan pencegahan yang lebih berkesan.
“JPJ Pahang amat serius dalam menangani isu pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan nama dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi menjaga kepentingan awam,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE