fbpx
Fazlan (dua dari kanan) Bersama Kumpulan WVH sentiasa pentingkan suasana persekitaran kerja yang ceria dalam urusan harian.

Cukai beban atau tanggungjawab? Ini yang perlu anda tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kekeliruan mengenai sistem pencukaian menyebabkan ramai termasuk usahawan muda memilih pendekatan tunggu dan lihat sehingga hanya bertindak selepas menerima notis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Realitinya, tanggungjawab percukaian terpakai kepada semua pembayar cukai yang memenuhi syarat di bawah undang-undang, termasuk peniaga kecil seperti pengusaha gerai tepi jalan.

Pada masa sama, kewujudan individu yang menawarkan khidmat nasihat atau pengurusan percukaian tanpa kelayakan atau bertindak secara tidak beretika turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta boleh menjejaskan reputasi profesion akauntan dan ejen cukai yang bertauliah.

Wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Yunus Yakkub dan jurugambar, Afiq Razali menemu ramah Akauntan Percukaian Berlesen Kumpulan WVH, Fazlan Jasa bagi mengulas isu tersebut.

KOSMO! AHAD: Generasi muda melihat cukai sebagai ‘beban’ ketika kos sara hidup semakin meningkat. Apa komen?
FAZLAN: Cukai bukan sekadar bayaran kepada kerajaan, tetapi satu tanggungjawab sebagai rakyat yang layak membayar cukai. Hasil cukai digunakan untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan negara.

Dalam setiap rezeki yang kita peroleh, ada tanggungjawab untuk menyumbang kepada ke­sejahteraan bersama melalui sistem percukaian yang adil.

Tidak kira sama ada seseorang membayar cukai pendapatan atau tidak, semua rakyat tetap menyumbang kepada hasil negara melalui pembelian barangan dan perkhidmatan yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ada juga yang bukan takut membayar cukai, tetapi bimbang disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Adakah ia benar?
Ada benarnya perkara itu, namun masalah utama bukan keengganan membayar cukai, sebaliknya kekurangan kefahaman terhadap sistem percukaian.

Dulu kebanyakan individu hanya mempunyai satu sumber pendapatan iaitu gaji. Namun kini, ramai anak muda menjana pendapatan daripada pelbagai sumber seperti p-hai­ling, perniagaan TikTok, affiliate atau kerja sambilan selepas waktu kerja. Ini mewujudkan kekeliruan tentang pendapatan apa yang perlu dilaporkan.

Jadi, adakah semua pendapatan perlu diisytiharkan?
Secara prinsipnya, ya. Contohnya borang CP58 merekodkan pelbagai bentuk bayaran insentif seperti komisen, bonus dan ganjaran tunai sepanjang tahun.

Pembayar cukai juga perlu menyimpan bukti perbelanjaan seperti penyelenggaraan ken­deraan, motosikal dan petrol bagi tujuan tuntutan perbelanjaan yang boleh ditolak jika be­kerja sambilan seperti ­p-hailing.
LHDN juga menyediakan panduan lengkap di laman sesawang rasmi mereka, termasuk cara pengisian borang cukai atau rujukan terus ke pejabat agensi itu.

Ada individu sanggup berhutang membeli kereta mewah, tetapi culas mengisy­tiharkan pendapatan kepada LHDN. Apa komen?
Pada pandangan saya, isu sebenar bukanlah jenis kereta yang dimiliki, tetapi sama ada sumber kewangan dan pendapatan seseorang telah direkodkan serta dilaporkan dengan betul. Antara perkara yang sering berlaku ialah individu menangguhkan urusan kewangan dan percu­kaian.

Apabila pendapatan mula meningkat, sumber pendapatan bertambah dan jumlah transaksi semakin banyak, mereka baru menyedari bahawa rekod yang tidak lengkap boleh menimbulkan masalah. Pemilikan aset atau gaya hidup tertentu de­ngan sendirinya bukan bukti seseorang melakukan kesalahan.

Namun, seseorang perlu mampu menerangkan sumber kewangannya melalui rekod yang sah seperti penyata pendapatan, akaun perniagaan, pe­nyata bank, perjanjian pinjaman atau dokumen berkaitan. Sebab itu, rekod kewangan perlu disusun dari awal dan bukan hanya selepas menerima pertanyaan atau notis daripada LHDN. Lebih tinggi pendapatan dan komitmen kewangan seseorang, lebih penting untuk memastikan pelaporan cukainya lengkap, tepat dan teratur.

Bagaimana jika seseorang lewat mengisytiharkan pendapatan atau tersilap mengisi borang, adakah mereka dianggap penjenayah?
Kebanyakan kes yang kami lihat bukan berpunca daripada niat untuk menipu, sebaliknya kekurangan kefahaman tentang keperluan pelaporan.

Kesalahan hanya berlaku apabila terdapat unsur sengaja menyembunyikan atau memanipulasi data. Apa yang penting, jangan berdiam diri.
Sebaliknya, berjumpa akauntan bertauliah atau terus de­ngan LHDN untuk penyelesaian.

Apakah alasan paling tidak munasabah yang sering diberikan golongan muda?
Antara alasan yang paling tidak munasabah ialah me­nganggap pendapatan tidak perlu dilaporkan selagi belum me­nerima notis daripada LHDN.

Ada juga yang merasakan pendapatan sambilan atau perniagaan dalam talian tidak perlu diisytiharkan kerana jumlahnya masih kecil. Sikap menunggu ini akhirnya menyukarkan penyediaan rekod dan boleh menyebabkan kos pembetulan, cukai tambahan serta penalti menjadi lebih tinggi.

Adakah gerai kecil di tepi jalan juga boleh dikena cukai?
Saiz atau lokasi perniagaan tidak menentukan sama ada seseorang dikenakan cukai. Yang dinilai ialah keuntungan dan pendapatan bercukai yang diperoleh.

Namun, ini tidak bermaksud semua peniaga kecil semestinya perlu membayar cukai. Mereka tetap perlu menyimpan rekod dan melaporkan pendapatan perniagaan dengan betul.
Jika pendapatan tidak dilaporkan, LHDN boleh menjalankan semakan dan membuat taksiran berdasarkan maklumat yang diperoleh. Masalah utama ialah tanggapan bahawa perniagaan kecil tidak perlu dilaporkan.

Adakah budaya cash is king dan transaksi tanpa rekod menjadi punca?
Ia antara faktornya. Namun, masalah sebenar bukanlah penggunaan tunai, sebaliknya kegagalan merekodkan transaksi dan menyimpan dokumen kewangan dengan teratur.

Apabila perniagaan berkembang, jumlah transaksi bertambah dan rekod menjadi semakin sukar disusun. Ramai hanya mendapatkan bantuan selepas menerima notis atau taksiran daripada LHDN. Pendapatan perniagaan tetap perlu direkod dan dilaporkan, sama ada diterima secara tunai, pindahan bank atau melalui platform digital.

Adakah ‘surat cinta’ LHDN diberikan tanpa sebab kepada peniaga?
Kebiasaannya, notis LHDN dikeluarkan berdasarkan maklumat atau isu pematuhan yang memerlukan penjelasan lanjut.

Corak kewangan seperti pemilikan aset, pembelian rumah atau kenderaan boleh menjadi antara maklumat yang dinilai bersama pendapatan yang telah dilaporkan. Namun, pemilikan aset bukan bukti seseorang melakukan kesalahan. Yang pen­ting, sumber kewangan tersebut boleh dijelaskan dan disokong dengan rekod yang sah.

Ramai bimbang kos khidmat akauntan tinggi. Berapa anggaran pasaran semasa?
Tiada kadar tetap kerana kos bergantung pada jenis pendapatan, jumlah transaksi, kerumitan kes dan keadaan rekod kewa­ngan. Bagi kes yang rekodnya lengkap dan teratur, kos biasanya lebih rendah berbanding kes yang memerlukan penyusunan semula akaun atau pembetulan pelaporan terdahulu.

Kesilapan mengurus sendiri boleh menyebabkan risiko le­bih tinggi. Biasaanya, firma akauntan kecil dan sederhana (SME) menawarkan sesi nasihat awal tanpa caj sebelum kerja dimulakan.

Bagaimanakah orang ramai boleh mengelakkan penipuan dalam urusan percukaian?
Orang ramai perlu memastikan individu yang dilantik ialah ejen cukai yang masih mempunyai kelulusan sah daripada Kementerian Kewangan. Bayaran cukai pula sebaik-baiknya dibuat terus melalui saluran rasmi

LHDN dan bukannya dipindahkan ke akaun ­peribadi pihak yang menguruskan cukai.
Pembayar cukai juga perlu menyemak notis, resit pembayaran dan kedudukan akaun cukai melalui portal rasmi MyTax. Jangan hanya bergantung pada gelaran, populariti atau maklumat di media sosial..

Adakah isu ini menjejaskan imej akauntan bertauliah?
Sedikit sebanyak, isu sebegini boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap penyedia perkhidmatan percukaian.

Namun, masyarakat perlu membezakan antara akauntan yang berdaftar dengan MIA dan ejen cukai yang mempunyai kelulusan sah daripada Kementerian Kewangan.
Sekiranya ada salah laku, aduan boleh dikemukakan kepada badan profesional atau pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN