fbpx

‘Arwah kekuatan saya, sempat hadiahkan al-Quran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSWATI ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor Karang di Jerlun semalam. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

JERLUN – “Arwah anak sulung, dia kekuatan saya dan adik-adiknya. Bila dia dah tiada, semua terduduk kerana semangat hilang tetapi apapun kami perlu kuat”.

Demikian kata Roswati Zainol, 52, ibu kepada Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang ditemukan lemas bersama suami dan empat anak selepas kereta dinaiki terhumban ke dalam Sungai Korok, Jitra pada Sabtu lalu.

Katanya, tidak tergambar rasa sedihnya apabila terpaksa menerima kehilangan enam insan disayangi dalam sekelip mata.

“Hubungan kami rapat kerana mereka tinggal dengan saya, saya yang jaga semua cucu bila arwah pergi berniaga roti canai di Pendang.

“Kini semua sudah tiada, suami saya (Razman Efendi Abd. Rahman, 57) yang beri semangat dan minta kami kuat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor Karang, di sini.

Menurutnya, arwah anak perempuannya itu juga sentiasa ada di kala susah senangnya.

“Sebelum ini arwah sekeluarga tinggal di Alor Setar tetapi berpindah ke rumah saya semasa dia mengandung anak bongsu kerana sering tidak sihat supaya saya mudah untuk jaganya.

“Selepas bayi agak besar, dia mula berniaga roti canai dan saya bantu dia siapkan bahan roti canai dan kuah serta menjaga cucu-cucu sehingga dia habis berniaga,” ujarnya.

Sementara itu, kenangan manis terakhir apabila arwah menyambut hari lahirnya pada bulan lalu dan menghadiahkannya senaskhah al-Quran.

Tambahnya, perniagaan roti canai diusahakan arwah akan diteruskan suami dan anak-anaknya yang lain selepas ini.

“Walau bagaimanapun mungkin ambil masa sedikit sebab kami hanya gunakan kereta arwah untuk bawa barang niaga. Kami berfikir juga macam mana nak berniaga, kami tak ada kereta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI