BANGKOK – Seorang tetamu sebuah resort di rantau Isaan, wilayah Khon Kaen maut dipatuk ular tedung di dalam bilik hotel, dipercayai ketika dia merakam video untuk kandungan media sosial, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Dalam kejadian semalam, pemilik resort tersebut menemukan mayat mangsa ketika memeriksa bilik pada pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan).
Dia bertindak demikian selepas mangsa tidak mendaftar keluar pada waktu ditentukan, selain bilik didapati berkunci dari dalam dengan keadaan lampu menyala.
Mangsa ditemukan terbaring di atas katil, namun tiada tanda-tanda pergelutan.
Pasukan perubatan tiba di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan awal dan menemui kesan gigitan ular pada lengan kanan lelaki itu.
Polis kemudian menemui beg kain berisi ular tedung yang diletakkan berhampiran pintu.
Pegawai yang memeriksa telefon bimbit mangsa menemui beberapa video menunjukkan dia mengendalikan ular tedung di dalam bilik.
Polis mengesyaki lelaki itu cuba menghasilkan kandungan video bersama ular tedung untuk dimuat naik di laman sosial.
Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian. – AGENSI