fbpx

PKBM gantung lesen Effandy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil tindakan tegas menggantung lesen kejurulatihan bekas pelumba kebangsaan, Nur Effandy Rosli selepas beliau kini didakwa di mahkamah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang pelatih wanita bawah umur.

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah awal mengurangkan risiko kepada atlet lain di bawah selian jurulatih 58 tahun itu sambil menunggu kes itu selesai di mahkamah.

Menurutnya, tindakan tersebut selaras dengan komitmen PKBM untuk memastikan persekitaran sukan berbasikal kekal selamat dan bebas gangguan seksual, khususnya melibatkan atlet remaja.

“Dalam hal ini, saya ingin memberi jaminan kepada semua pihak bahwa PKBM tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pemegang lesen yang didapati melanggar peruntukan perundangan negara, Kod Sukan Selamat dan Kod Etika UCI lebih-lebih lagi melibatkan atlet atau pelatih bawah umur.

“Oleh itu, PKBM akan sentiasa memantau kes tersebut demi kepentingan semua pihak khususnya pelumba wanita itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) mengesahkan bahawa pada masa kesalahan tersebut dikatakan berlaku, tertuduh bukanlah jurulatih pasukan kebangsaan atau jurulatih mana-mana pasukan negeri, tetapi beliau hanya merupakan jurulatih di kelabnya sendiri.

Amarjit turut memberi peringatan kepada seluruh warga sukan berbasikal, termasuk jurulatih, pegawai teknikal serta pentadbir agar sentiasa menjaga integriti serta keselamatan atlet dan segera melaporkan sebarang salah laku kepada PKBM atau pihak polis.

“Ini peringatan jelas buat semua bahawa PKBM tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan keselamatan pelatih, lebih-lebih lagi wanita dan remaja,” tegasnya.

Bekas pelumba itu dituduh melakukan amang seksual ke atas pelatih perempuan berusia 15 tahun, sekitar Jun 2024 di sebuah setor simpanan basikal di Taman Desa Keramat, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Effandy yang meraih pingat perak acara lepas beramai-ramai di Sukan Komanwel 1998 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Ampang, semalam di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI