KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus mempamerkan aksi berbisa pada saingan Piala Trek Jepun 2 apabila merangkul pingat kedua di kejohanan tersebut.
Hari ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu memenangi gangsa dalam acara pecut individu lelaki menewaskan pelumba Australia, Tayte Ryan.
Pada aksi penentuan tempat ketiga yang berlangsung di Velodrom Izu, Shizuoka sebentar tadi, pelumba berusia 38 tahun itu memenangi kedua-dua perlumbaan tersebut.
Kemenangan itu merupakan pingat kedua Azizulhasni di Jepun selepas turut meraih gangsa dalam acara keirin pada Piala Trek Jepun 1 yang berlangsung semalam.
Pingat emas acara tersebut menjadi milik pelumba tuan rumah, Kaiya Ota yang menewaskan rakan sepasukan, Shinji Nakano menerusi keputusan 2-0.
Sementara itu, dua pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nur Alyssa Farid sekadar menamatkan saingan pecut individu wanita di pusingan pertama.
‘The Pocket Rocketman’ berpeluang untuk menambah koleksi pingat esok apabila dijadualkan turun beraksi dalam acara keirin bersama rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom. – KOSMO! ONLINE














